lightning-solid
Berita :
Projek Muara Sungai Mangkuk RM116 Juta Dijangka Siap Bulan Ini
Projek Muara Sungai Mangkuk RM116 Juta Dijangka Siap Bulan Ini
Nik Muhammad Ziyad Nik Abdul Ghafar
1 jam yang lepas
45

SETIU – Penantian berpuluh tahun komuniti nelayan di daerah Setiu kini bakal berakhir apabila Projek Mendalamkan Muara Sungai Mangkuk bernilai RM116 juta dijangka siap sepenuhnya pada bulan ini.

Projek berimpak tinggi yang merangkumi kerja-kerja mendalamkan laluan muara serta pembinaan struktur pemecah ombak itu telah dimulakan sejak Januari 2022 bagi menangani masalah muara cetek yang sekian lama menyukarkan pergerakan bot nelayan, terutamanya bot zon laut dalam.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, isu muara cetek sebelum ini kerap menyukarkan pergerakan nelayan untuk keluar dan masuk ke laut.

"Dahulu, masalah muara cetek menyebabkan nelayan sukar keluar masuk, khususnya bot-bot laut dalam. Ada yang terpaksa menunggu air pasang, berdepan risiko kerosakan bot serta menanggung kos operasi yang lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini. 

Beliau menjelaskan bahawa tinjauan telah dijalankan di kawasan projek berkenaan pada Jun lalu selepas beberapa isu dibangkitkan oleh penduduk kampung.

"Beberapa lokasi turut dikenal pasti yang masih memerlukan penambahbaikan sebelum projek ini disiapkan dan diserah sepenuhnya kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada bulan ini.

"Apabila siap nanti, insya-Allah nelayan akan dapat keluar masuk dengan lebih selamat dan mudah, kos operasi dapat dikurangkan dan yang paling penting, rantaian ekonomi hasil laut dapat terus berkembang di Terengganu," ujarnya.

Selain memberi manfaat besar kepada sektor perikanan tempatan, Muara Sungai Mangkuk ini juga bakal menjadi salah satu laluan utama pengangkutan bot ke Pulau Redang, sekali gus mempunyai potensi besar untuk menyokong dan merancakkan aktiviti pelancongan di kawasan Setiu.


Tag :

Artikel Berkaitan