• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Masalah Projek Perumahan Mak Kemas Selesai

MARANG, 30 Ogos - Projek perumahan kerajaan terdahulu iaitu program My Beautiful New Home (MyBNHome) di Kampung Mak Kemas kini berada di landasan kemajuan setelah isu kontraktor dan ketiadaan longkang saliran diselesaikan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, pembinaan perumahan yang bermula sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu telah sekian lama diselubungi masalah berkaitan pihak kontraktor khususnya soal penyerahan dokumen.

“Oleh itu, melalui portfolio perumahan, kita telah membuat satu perjumpaan dengan kontraktor dan pelbagai agensi kerajaan antaranya Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) yang berperanan sebagai pengurus projek bagi menyelesaikan projek dalam tahun ini.

“Turut terlibat adalah Majlis Daerah Marang yang bertanggungjawab dengan kelulusan pelan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Daerah bagi pengurusan tanah dan lain-lain lagi supaya program ini berjalan lancar,” katanya.

Katanya, antara penyelesaian dicapai adalah kelulusan tanah bagi pembinaan sistem longkang untuk pelepasan air 50 unit rumah berkembar setingkat dan pelebaran jalan di kawasan keluar masuk perumahan.

Beliau berkata demikian selepas kerja lawatan Pembangunan Dan Kemudahan Berkaitan Bagi MyBNHome Di Kampung Mak Kemas, petang semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, Mohd Nor Hamzah dan Pegawai Daerah Marang, Lizan Che Mat.

Mengulas lanjut, Dr Alias menjelaskan tahap kemajuan pembinaan adalah sekitar 50 peratus dengan jangkaan siap sepenuhnya dalam masa enam bulan.

“Jika kontraktor baharu yang dilantik boleh menyiapkan dalam masa hujung tahun ini lebih baik, diharapkan apa dirancang hari ini semua boleh diselesaikan dengan segera,” tambahnya.