• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Projek RM36.71 Juta Dibangunkan di Besut

KUALA TERENGGANU, 11 Januari – Sebuah lagi projek hidro mini dengan kapasiti 3 Mega Watt (MW) bakal dibina di Besut yang dijangka siap menjelang tahun 2027.

Projek bernilai RM36.71 juta itu akan dibina di Sungai Pelagat menjadikan projek kedua selepas Projek Hidrokuasa Kecil Sungai La, Hulu Besut.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Ir Saiful Azmi berkata projek berkenaan adalah kesinambungan terhadap usaha kerajaan negeri menceburi pembangunan lestari khususnya tenaga baharu.

“TESDEC Hydropower Sdn Bhd dan Techmile Resources Sdn bhd bekerjasama bagi membina projek hidro kecil 3MW dengan sasaran jadual diletakkan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) disiapkan pada 2027.

“Sumber bagi hidro mini ini adalah ketinggian air di bukit yang digunakan sebagai penjanaan kuasa, jadi sistem yang dipakai adalah ‘high height’ iaitu air dari puncak dimasukkan ke dalam paip sebelum dialirkan ke bawah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Surat Anugerah (LOA) Projek Pembangunan Mini Hidro 3.0 MW Sungai Pelagat, Besut di Hotel Primula, di sini hari ini.

Majlis disempurnakan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan kehadiran Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Pengerusi Eksekutif Minetech, Dato' (Dr) Ts Awang Daud Awang Putera.

Saiful yang juga Pengerusi TESDEC Hydropower Sdn Bhd turut berkata, usai projek tersebut siap ia akan diserahkan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan jangkaan hasil pendapatan sebanyak RM3.3 juta setahun.

Projek rintis itu melibatkan satu ekar keluasan tanah bagi muka sauk air kawasan air keluar seluas satu ekar dengan paip bersaiz 800 mm sepanjang empat kilometer.

 


Tag: