• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Projek Terbengkalai Diteruskan Elak Pembaziran Duit Rakyat

KUALA TERENGGANU, 28 Ogos – Pembangunan semula projek terbengkalai diteruskan oleh kerajaan negeri sekarang bagi mengelakkan pembaziran duit rakyat daripada terus berlaku.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata jika kita selidik dalam tempoh 20 tahun yang lampau sehingga hari ini, projek terbengkalai yang dibuat oleh kerajaan negeri sebelum ini telah mencapai anggaran jumlah keseluruhan RM1 billion.

Katanya, kesemua duit tersebut merupakan duit rakyat yang boleh diperuntukkan untuk perkara-perkara lain seperti pendidikan, bantuan kebajikan dan sebagainya.

“Bila kita tengok kenapa terbengkalai kerana berlaku pertukaran Menteri Besar, sedangkan mereka dari parti yang sama cuma masing-masing tidak mahu teruskan kerana mahu ada (legasi) sendiri.

“Punca segala masalah apabila orang politik menganggap membina sesuatu projek adalah suatu legasi masing-masing,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual oleh DJ Manis FM, Fad dan Ifa di konti Manis FM di sini baru-baru ini.

Tambah Ahmad Samsuri, projek terbengkalai tersebut perlu ada penerusan seperti pembangunan semula projek ‘Strawbery Park’.

“Strawberry Park sebelum ini merupakan sebuah resort persendirian dibeli oleh kerajaan negeri pada tahun 2010 dengan nilai kira-kira RM27 juta selepas resort tersebut bermasalah.

“Hasrat kerajaan negeri terdahulu untuk menjadikan resort itu juga sebagai institut jantung negara tidak berjaya dilaksanakan menyebabkan resort tersebut terbengkalai.

“Ini antara salah satu projek terbengkalai dan terdapat banyak lagi projek yang ditinggalkan sehingga menyebabkan kerosakan, tiada 'maintenance', bangunan runtuh dan sebagainya.

“Bagi pandangan saya, sebarang projek yang dilaksanakan tidak boleh ditinggalkan kerana ia akan berlaku kerugian yang besar kepada rakyat,” ujarnya.