• 20 Sept 2021 | 12 Safar 1443

Promosi Pelancongan: Terengganu, Perak Wujud Kolaborasi 'Menang Menang'

Oleh : Suhaimi Taib

IPOH, 25 Ogos - Kerajaan Terengganu dijangka bekerjasama dengan Perak bagi mempromosikan produk pelancongan di kedua-dua negeri secara kolaborasi 'menang-menang'.

Kedua-dua negeri itu mempunyai banyak produk pelancongan yang unik bersumberkan alam semula jadi dan sejarah setempat. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, pertemuan hari ini adalah untuk perbincangan awal antara beliau dengan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Perak, Datuk Nolee Ashikin Mohd Radzi.

"Hari ini adalah pertemuan awal kerana kita ada persamaan daripada segi produk-produk pelancongan yang berbeza dan mempunyai keunikan masing-masing. 

"Jalinan perjalanan (perhubungan) akan jadi lebih baik dengan pembinaan lebuhraya melalui Simpang Pulai (Perak) ke Terengganu, " katanya ketika bercakap kepada pemberita di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan di sini hari ini. 

Ariffin mengadakan kunjungan hormat kepada Datuk Nolee di bangunan tersebut diiringi kakitangan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu. 

Sementara itu, Datuk Nolee mengucapkan ribuan terima kasih atas kunjungan hormat Ariffin dan rombongan. 

Beliau berkata, kerajaan negeri Perak akan mengadakan kerjasama dengan kerajaan Terengganu, memandangkan daripada segi jalan raya Perak tidak jauh dari Terengganu. 

"Kerajaan negeri Perak akan mengambil peluang ini untuk mempelajari (tentang penghasilan dan pengurusan) produk-produk pelancongan negeri Terengganu seperti Tasik Kenyir dan lain-lain, " jelasnya. 

Menurutnya, negeri Perak mempunyai pengusaha-pengusaha bot dan unit pengurusan pantai. 

"Kami baru sahaja mengisytiharkan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai awal tahun ini. 

"Daripada segi pengendalian itu kita akan belajarlah dari Kerajaan Negeri Terengganu," jelasnya. 


Tag: