• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Proses Naik Taraf Internet Setiu Di Fasa Akhir

Oleh : Faris Ameir Ibrahim

SETIU, 8 April - Penduduk di Setiu kini boleh menarik nafas lega apabila proses untuk menaik taraf sistem jalur lebar di daerah berada di fasa akhir pemilihan tender.

Ahli parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, isu itu sudah lama menjadi masalah bagi penduduk Setiu khususnya di pedalaman.

Katanya, oleh itu kerja-kerja meningkatkan kemudahan infrastruktur dan membina menara pemancar baharu akan dilaksanakan meliputi sebahagian besar kawasan parlimen setiu terutamanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap dan Permaisuri. 

“Saya sendiri telah membawa usul ke parlimen dalam ucapan saya dan soalan-soalan secara lisan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato' Seri Saifuddin Abdullah dan saya juga telah menyerahkan surat rasmi kepada beliau ketika sidang Parlimen sedang berehat sebelum ini.

"Di dalam surat tersebut telah saya sertakan dengan lampiran kawasan yang belum lagi mempunyai liputan internet 4G," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semasa proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) awal tahun ini, di sesetengah kawasan pelajar-pelajar perlu pergi ke tempat yang tinggi untuk mendapat liputan internet 4G.

"Misalnya mereka perlu pergi ke atas bukit untuk mendapatkan liputan internet.   

"Jadi Alhamdullilah, setelah pelbagai usaha dibuat kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia di bawah Program Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), pembinaan menara baru sebanyak 13 dan menaik taraf menara pemancar yang sedia ada di 57 tempat diluluskan.

"Antara tempat yang dinaik taraf menara ialah Kampung Sungai Bari, Kampung Bahagia, Felda Chalok Barat, Kampung Telaga Papan, Kampung Gong Terap, Pusat Belia Bari, Kampung Guntung, Bandar Permaisuri, Kampung Penarik, Kampung Sungai Tong, Terengganu International Endurance Park iaitu di Lembah Bidong dan banyak lagi, kesemuanya melibatkan 57 buah kampung,” katanya.

Menurut Shaharizukirnain lagi, menara pemancar yang akan dibina baru melibatkan Kampung Baru Tok Dor, Kampung Gong, Kampung Bukit Tanah, Kampung Kepala Gajah, Kampung Gong Lilit, Kampung Mangkuk, Kampung Air Sejuk dan Kampung Padang Serai.

"Selain itu, Kampung Tayor Tengah, Hutan Lipur Lata Payong, Kampung Bukit Layat, Kampung Jelapang dan Kampung Pengkalan Gelap turut akan dibina baru.

"Iklan sebut harga atau tender telah ditutup pada 31 Mac yang lalu dan sekarang dalam proses pemilihan kontraktor yang berjaya.

"Dijangka penghujung April akan dimulakan pembinaan menara telekomunikasi itu," katanya.


Tag: