• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Proses Pengundi Lancar, Pengundi Luar Teruja Datang Awal

HULU TERENGGANU, 12 Ogos-Proses mengundi pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu(PRN DUN ke 15) yang bermula jam 8 pagi tadi, berjalan lancar dengan pengundi dilihat mula hadir untuk menunaikan tanggungjawab pada jam 7.45 pagi.

Tinjauan  di beberapa pusat pengundian di sini, mendapati kebanyakan pengundi yang keluar mengundi pada sebelah pagi terdiri daripada golongan warga emas, wanita dan pengundi luar.

Anggota polis dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memantau keadaan pusat pengundian bagi memastikan semua pengundi yang hadir mematuhi peraturan ditetapkan.

Suasana di sekitar pusat pengundian juga terkawal dengan kehadiran anggota polis untuk mengawal lalu lintas di kawasan tersebut.

Selain itu, kerusi roda juga disediakan bagi memudahkan pengundi yang uzur untuk memasuki pusat pengundian.

Bagi Nurul Hasniza Shaari, 35, yang merupakan anak perantau berkata dia pulang daripada Shah Alam sejak dua hari lepas untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi luar.

Katanya, dia sanggup pulang kerana satu undinya, bakal menentukan  wujudnya perubahan dari segi pentadbiran dan ekonomi di negeri kelahirannya itu.

"Balik untuk negeri tercinta dan memilih wakil rakyat yang boleh berkhidmat untuk lima tahun lagi,"ujarnya yang membuang undi di SK Kuala Berang.

Calon PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang,  Dr Mamad Puteh tiba di SK Kuala Berang untuk mengundi jam 8.00 pagi tadi.

Lebih 9.67 juta pemilih berdaftar akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri hari ini bagi memilih wakil rakyat kawasan masing-masing untuk tempoh lima tahun akan datang.