• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

PRU 2017: Wanita Sedia Bertanding PRU14


Wanita UMNO akan mempersiapkan diri sepenuhnya dan sedia menyahut cabaran jika ditawarkan kerusi kepada calon wanita di Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Zurina Abdul Rahman berkata, sudah terbukti lebih 50 peratus pengundi adalah wanita dan survival mana-mana parti politik serta kerajaan akan lebih terjamin apabila pemimpin wanita dengan isu wanita diarus perdanakan.

Katanya, ketika ini, Dewan Rakyat mempunyai 14 atau 6.3 peratus Ahli Parlimen Wanita Barisan Nasional (BN) termasuk lapan Wanita UMNO dan enam parti komponen, iaitu hanya 9.3 peratus Wanita UMNO daripada 86 Ahli Parlimen parti itu.

"Di Dewan Negara, wanita UMNO ada lapan dan wanita parti komponen ada tiga daripada 63 kerusi. Di Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, kita hanya ada 25 wanita UMNO dan lima wanita parti komponen.

"Maka, jika diberi peluang untuk calon wanita  di Terengganu terutamanya kami bukan hanya menyambut baik, malah akan mempersiapkan diri untuk menyahut cabaran ini.

"Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan," katanya oleh Teganukita pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar berpendapat sudah tiba masanya perubahan dilakukan di Terengganu dengan meletakkan calon wanita yang berkaliber.

"Kita ada ramai calon wanita yang layak dan boleh diketengahkan untuk PRU14 nanti.

"Mereka ini merupakan golongan profesional yang terdiri daripada peguam, guru dan ahli korporat yang mempunyai ciri-ciri yang diperlukan seperti formula 'likable' dan 'winnable' yang diumumkan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman,"ujarnya.

Sementara itu, ADUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman berkata, PRU14 kali ini memerlukan calon 'likeable' dan 'winnable' tidak kira siapa asalkan boleh memenangkan Barisan Nasional.

"Ini juga merupakan saranan Perdana Menteri   yang mahukan calon pilihan rakyat dan jika calon wanita yang menjadi kegemaran..apa salahnya jika kita letakkan calon wanita di Terengganu pada kali ini,"katanya.

Tag: