• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

PRU14: Biarlah Qada Dan Qadar Yang Menentukan-Rozi


Tersenarai atau tidak sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak menjadi satu persoalan dan saya berserah kepada qada dan qadar, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Dato' Rozi Mamat.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu berkata, semangatnya tetap bersama Barisan Nasional  (BN) dan perjuangan untuk membela agama, bangsa dan negara akan tetap diteruskan

 "Saya mesti berjuang untuk memastikan kemenangan BN sekali gus kekal sebagai kerajaan yang mentadbir negara...dan saya tidak ada rasa kerut kening nak fikir jadi calon atau tidak, semua ditentukan oleh Allah SWT.

"Tetap berjuang dan pastikan BN diberi kemenangan pada PRU kali ini dan tidak ada alasan untuk tidak memilih BN kerana kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk rakyat," katanya.

Rozi berkata demikian ketika berucap pada pemberita di Majlis Pengagihan Bantuan Banjir DUN Telemong di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Pembangunan Komuniti dan Sosial Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Mohamed Zahari Razali serta Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman.

Katanya lagi, tidak ada mana-mana kerajaan dalam dunia yang membantu rakyat seperti BN dan bukan dilaksanakan hanya untuk berdepan dengan PRU tetapi merupakan rutin tahunan termasuk meringankan beban mangsa banjir.

"Mungkin ada kelemahan di mana-mana tetapi kita sentiasa perbaiki. Ini juga selaras dengan slogan khas BN Terengganu menghadapi PRU (Terengganu Molek Doh) dan di DUN Telemong kita semangatkan perjuangan dengan 'Telemong, apee lagaih'.

"Apa yang ada pada hari ini, ianya perlu dikekalkan untuk anak cucu kita, jangan musnah apa yang dibina selama bertahun-tahun kerana silap membuat perhitungan dan pilihan," katanya lagi.



Tag: