• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

PRU14 : Gandingan Dua `Z' Calon Serikandi BN



Zaitun bersama anak-anak yang hadir memberi sokongan pada hari pengumuman calon Barisan Nasional, di Kediaman Seri Iman. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail

Barisan Nasional (BN) Terengganu memahat sejarah apabila pertama kali menampilkan dua calon wanita pada Pilihan Raya Umum bagi merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payung dan Sura pada 9 Mei ini.

Zaitun
Ketua Wanita UMNO Bahagian Marang, To’ Puan Zaitun Mat Amin dan Bendahari Wanita UMNO Negeri, yang juga Ketua Wanita UMNO Dungun, Datuk Zainun Abu Bakar, menjadi dua calon wanita pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), yang diumumkan Pengerusi Barisan Nasional Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

BN Terengganu sekali lagi mempertaruhkan calon wanita Zaitun, 61 dan Zainun, 65, selepas kali pertama menerusi Nordiana Shafie, yang bertanding di DUN Batu Buruk namun kalah kepada calon PAS pada PRU12.

Zainun
Calon Bukit Payung yang juga bekas Ahli Dewan Negara itu aktif dalam politik sebagai EXCO Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, manakala Zainun  pula yang juga Pegawai Pembangunan DUN Sura aktif sebagai Bendahari Pergerakan Wanita UMNO Negeri.

Zaitun yang juga pengerusi Jalinan Rakyat Plus Parlimen Marang berkata, beliau cukup yakin untuk merampas semula DUN Bukit Payung kerana sudah hampir lima tahun bekerja dan isu di Parlimen Marang sudah lama ditangani bersama jentera akar umbi termasuk 23 cawangan UMNO seluruh DUN (Bukit Payung).

“Gelombang PRU12 dan 13 sudah berlalu, kini pada PRU14 saya yakin rakyat Bukit Payung mahu generasi mereka terbela dan mereka pastinya mahu kerajaan yang kukuh dan stabil dapat membela dan menjaga kebajikan mereka.

“Kita yakin lebih 23,000 pengundi di Bukit Payung sudah bijak menilai dan akan memilih BN pada PRU14,”katanya.


Tag: