• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

PRU14 : Manifesto BN Besut Tawar Lapan Bidang Utama


Barisan Nasional (BN) Besut  menawarkan lapan bidang utama menerusi manifesto Parlimen Besut bagi memberi kesejahteraan kepada penduduk daerah itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pengarah Pilihan Raya BN Besut, Nawi Mohamad berkata, lapan bidang utama yang terkandung dalam manifesto khas itu diselaraskan dengan BN negeri dan Pusat supaya semua janji parti dapat dilaksanakan selepas PRU14.

Majlis pelancaran Manifesto BN Besut itu disempurnakan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dato' Seri Idris Jusoh yang juga calon BN Parlimen Besut di Dataran Perhentian Kereta Sewa Jertih, Besut, malam tadi.


Kira-kira 5,000 penyokong BN memeriahkan  majlis pelancaran berkenaan yang turut dihadiri oleh empat bakal calon BN dari DUN Kuala Besut, Kota Putera, Jertih dan Kuala Besut.

Nawi berkata, lapan bidang yang akan diberi tumpuan termasuklah  membina Lebuh Raya Pantai Timur (LPT3), membina 1,500 rumah mampu milik,meneruskan pembangan Pusat Pendidikan Taman Ilmu, manaiktaraf Hospital Besut kepada Hospital Berpakar, merancakkan industri pelancongan, menjadikan Daerah Besut sebagai pusat ternakan dan bekalan susu kambing negara, menjadikan persisiran Sungai Keluang sebagai tempat riadah dan membina Kota Putera Mall.

Nawi yang juga Ketua UMNO Bahagian Besut berkata, bagi menjayakan semua janji BN dalam manifesto itu penduduk Besut diminta meneruskan sokongan kepada semua calon BN yang diberi peluang bertanding pada PRU14.

“Kita memerlukan sokongan padu bagi memastikan empat calon Dewan Undangan Negeri dan Parlimen kekal,” katanya.

Idris yang juga Menteri Pendidikan Tinggi ketika berucap pada pelancaran itu berkata, rakyat negeri ini perlu ingat supaya penderitaan yang dialami ketika Pas memerintah negeri ini tidak berulang kembali.

Katanya, sepanjang tempoh pemerintahan Pas  rakyat menderita dan tidak ada satu masjid pun dibina oleh parti itu walaupun mereka bercakap mengenai Islam.


Tag: