• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

PRU14: Pok Usop Nekad Rampas Semula Manir

Yusof 
Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir mampu kembali kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan mencipta sejarah dan satu rekod baharu di Terengganu dengan pencalonan Yusof Awang Hitam sebagai calon BN kali ini.

Yusof berkata, kerusi DUN Manir yang sudah tujuh penggal (hampir 30 tahun) di tangan pembangkang dan merupakan antara kubu kuat Pas di Terengganu dijangka mampu dimenangi BN pada PRU14 ini.

"Manir perlu kembali kepada BN kerana sudah terlalu lama ketinggalan berbanding tiga DUN lain di Parlimen Hulu Terengganu, jadi saya harap pada PRU kali ini, marilah kita sama-sama beri peluang kepada BN untuk menang.

"Hari ini pun, kita dapat lihat kerajaan tetap bantu dan jaga DUN Manir walaupun ditangan pembangkang..kalau BN menang, bayangkan apa yang akan orang Manir dapat tentunya lebih lagi  pembangunan serta kemudahan-kemudahan lain dapat untuk orang Manir," katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman calon di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Yusof yang lebih dikenali sebagai Pok Usop turut berkata pihaknya hanya menunggu gendang dipalu dan kesiapsiagaan jentera parti yang sudah lama bergerak secara mantap pihaknya yakin BN dapat tawan Manir.

Beliau juga berharap orang Manir akan memberi sokongan padu kepadanya berdasarkan rekod perkhidmatannya sepanjang lima tahun berkhidmat sebagai Pegawai Pembangunan DUN Manir yang sentiasa mendekati rakyat setiap masa.

Untuk rekod, pada PRU13 lalu kerusi DUN Manir berjaya dipertahankan Pas, dengan majoriti 588 undi menerusi pertaruhan muka baru, Hilmi Harun dan sebelum itu (PRU12), Pas turut memenanginya dengan kelebihan majoriti hanya 432 undi.




Tag: