• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445


Mohd Jidin memalu gong sebagai gimik merasmikan program


UMNO Bahagian Setiu berikrar untuk menghadiahkan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke- 14 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Ketua UMNO Bahagian Setiu, Dato’ Mohd Jidin Shafee berkata, sebagai pemimpin di kawasan itu, dia mengetahui susur galur dan kehendak rakyat Setiu yang sememangnya setia terhadap parti UMNO.

"Saya memberi jaminan kawasan ini bukan saja akan menyapu bersih kerusi tetapi mampu memberi jumlah majoriti yang lebih besar andai semua ahli yang terlibat dalam jentera parti atau pengundi tidak bertindak 'cah keting' atau membuat undi rosak," katanya.

Mohd Jidin turut berkata UMNO Terengganu dalam waktu peralihan kuasa dan usaha penjenamaan atau penremajaan semula parti, perlu meneliti pelbagai isu dan kriteria sebelum memuktamadkan dalam soal pemilihan calon yang bakal dipertaruhkan untuk bertanding dalam PRU14.

"Kita kini giat melancarkan perang, mengatur strategi mengambil hati pengundi sebaik saja parlimen dibubarkan Sabtu lepas," katanya selepas merasmikan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Peringkat DUN Batu Rakit di Mengabang Panjang, Batu Rakit, baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman, Ahli Parlimen Setiu Datuk Che Mohd Zulkifli Jusoh, Senator Datuk Abdul Rahman Mat Yassin, Setiausaha Politik Menteri Besar, Dr Rozailan Ibrahim dan semua pemimpin politik tempatan.

Sementara itu, Bazlan berkata tiga tambahan pusat daerah mengundi (PDM), iaitu Kampung Mengabang Telong, Kampung Wakaf Tengah dan Kampung Mengabang Telipot menjadikan DUN Batu Rakit kini memiliki 11 PDM dengan tambahan 10 cawangan baru berikutan persempadanan baru yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bazlan berkata tambahan itu bakal melonjak undi yang lebih banyak dan memerlukan kerja keras jentera perayu undi BN.

"Tapi kita tidak gentar kerana hari ini, DUN Batu Rakit bersiap sedia dengan 2,000 tenaga kerja yang terdiri dari tiga sayap parti iaitu Pemuda, Puteri dan Wanita," katanya lagi.


Tag: