• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

PRU14 : Sokong Siapa Sahaja MB Selepas Ini


Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berikrar akan terus memberi sokongan penuh kepada sesiapa sahaja yang bakal dilantik menjadi menteri besar selepas Barisan Nasional (BN) berkuasa semula di negeri itu selepas Pilihan Raya Umum Ke -14 (PRU14) nanti.

Menurutnya, beliau akan menjadi orang pertama menyokong pelantikan menteri besar baharu sekiranya beliau tidak lagi dilantik ke jawatan itu atau jika tidak lagi disenarai sebagai calon pada PRU14 nanti.

“Sesiapa yang bakal dilantik menjadi menteri besar tidak penting tetapi apa yang paling utama ialah setiap ahli parti perlu berjiwa besar dan bekerja kuat bagi memastikan BN terus berkuasa di negeri berkenaan.

“Tidak lupa juga perlu berlaku adil kerana jika sebelum ini ahli-ahli parti boleh tetap setia menyokongnya, maka saya  juga perlu melakukan perkara yang sama kepada pengganti saya nanti,"katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Ketua Jabatan, Warga Pendidikan dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) Daerah Kemaman di Dewan Majlis Pembandaran Kemaman (MPK), Chukai, semalam.

Turut Hadir, Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Negeri, Ir Rosli Othman, Pegawai Daerah Kemaman, Mohd Zahari Mohd Azahar dan Pegawai Penyelaras DUN Chukai, Dato’ Mohamed Awang Tera.


Menurut Razif, survival politik orang Melayu perlu dimartabat dan dikekalkan di negeri berkenaan ataupun di negara ini.

“Setiap bekas wakil rakyat atau sesiapa sahaja yang tidak tersenarai sebagai calon PRU14 supaya tidak berasa kecewa sebaliknya terus menyokong setiap calon baharu.

“Saya sentiasa menasihati setiap ahli parti supaya jangan sekali-kali mengkhianati parti jika tidak dicalonkan sebaliknya perlu terus setia dan berusaha dengan lebih gigih bagi memastikan kemenangan besar,"katanya.

Selain itu Razif berkata, apa yang penting sekarang ialah aspek solidariti dan permuafakatan ahli-ahli parti untuk bekerja kuat sekaligus merampas kembali DUN-DUN yang dikuasai pembangkang termasuk DUN Chukai di Kemaman dengan majoriti lebih besar. 

“PRU14 kali ini BN terpaksa berdepan dengan tiga penjuru iaitu Pas dan Pakatan Harapan yang sememangnya memerlukan BN bekerja kuat termasuk menggunakan sepenuhnya kekuatan orang muda.

“Semboyan PRU14 dibunyikan dan ahli-ahli perlu melupakan semua isu dalaman parti untuk memulakan gerak gempur untuk melawan musuh.

Pada majlis tersebut Datuk Seri Ahmad Razif turut menyampaikan sumbangan bantuan kewangan kepada 71 Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah di daerah Kemaman dan kepada semua J3K.


Tag: