• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

PRU15: Lima Beradik Teruja Mengundi Bersama

DUNGUN, 19 November- Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hari ini memberikan pengalaman bermakna buat lima beradik dari Kampung Nibong di sini apabila mereka berpeluang mengundi bersama.

Aliff Amirul Hafiz Ab Halim, 18, berkata, lebih mengembirakan apabila dia dan adik- beradiknya dapat membuang undi melalui saluran sama di Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail disebabkan jarak umur mereka yang tidak jauh berbeza.

Penuntut German-Malaysian Institute (GMI) di Bangi itu berkata, dia bersama kakaknya Amira Hedriana, 28, Amanina Hazwani, 26, Amalia Hadirah, 22, dan Athirah Hannani, 20 tiba di pusat undi berkenaan bagi mengundi Parlimen Dungun kira-kira jam 9 pagi.

"Teruja, gementar pun ada kerana ini kali pertama saya mengundi demi melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

"Saya harap undi saya ini akan menjadikan Malaysia ke arah yang lebih baik dan calon yang menang nanti dapat mengubah negara ke arah yang lebih maju, " ujarnya ketika ditemui di perkarangan luar pusat mengundi tersebut, hari ini.

Keterujaan sama turut dikongsi kakaknya, Amalia Hadirah yang rela hati keluar mengundi.

"Saya mengundi bukan atas desakan keluarga atau sesiapa. Saya sendiri yang hendak mengundi, saya rela hati kerana saya mahu suara saya didengari.

"Harapan untuk calon yang menang nanti agar dapat memimpin negara ke arah yang lebih baik dan tidak ada lagi isu- isu negatif seperi rasuah dan seumpamanya, " ujar Amalia Hadirah yang merupakan bekas pelajar Intec Education College, Shah Alam.