• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

PTG, SUK Terengganu Menang Anugerah Pengurusan Aduan Awam Cemerlang

KUALA TERENGGANU, 15 Disember- Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Terengganu dan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu memenangi Kategori Pengurusan Aduan Terbaik Negeri (Keseluruhan) Anugerah Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) Cemerlang 2020 yang diumumkan dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman di Dewan Besar Wisma Darul Iman, semalam.

Jabatan dan agensi lain yang turut menerima anugerah itu termasuk Pejabat Tanah Dungun, Pejabat Tanah Besut dan Pejabat Tanah Kuala Terengganu (Kategori Pejabat Daerah dan Tanah).

Majlis Daerah Hulu Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan Majlis Perbandaran Kemaman (Kategori Pihak Berkuasa Tempatan), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Terengganu (MAIDAM) bagi kategori Badan Berkanun dan Jabatan Kerja Raya Daerah Kuala Terengganu, Jabatan Kerja Raya Daerah Dungun serta Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu (Kategori Jabatan dan Agensi Negeri).

Setiausaha Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Bijaya Raja dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi ucapan syabas dan tahniah kepada semua jabatan serta agensi yang menerima Anugerah Pengurusan Aduan Cemerlang Tahun 2020. 

Beliau berharap semoga anugerah ini menjadi pemangkin dan tanda aras kepada jabatan serta agensi untuk terus kekal  cemerlang.

“Namun begitu, masih banyak jabatan dan agensi yang memandang ringan serta mengambil mudah terhadap pengurusan aduan ini, sedangkan prestasi kita dipantau oleh Biro Pengaduan Awam di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Harapan saya agar bermula tahun 2022 semua jabatan dan agensi dapat memberi komitmen yang lebih baik serta memandang perkara ini dengan lebih serius supaya semua aduan dapat diselesaikan dengan lebih efisien. Semoga prestasi cemerlang Pengurusan Aduan Awam oleh jabatan dan agensi di Terengganu terus kekal cemerlang,” kata beliau ketika berucap sempena perhimpunan itu.

Turut hadir, Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Razali Che Ani, Pegawai Kewangan Negeri, Zainal Abidin Mohamed, Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Shahidan Embok dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak.

Untuk rekod, SISPAA yang dikawal selia oleh Unit Korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan bagi memperbaiki mutu perkhidmatan dan penyampaian dari semasa ke semasa.

 Ia juga menjadi medium yang dapat mempercepatkan dan memudahkan proses penyampaian maklum balas kepada agensi kerajaan kerana ianya boleh dicapai oleh pengguna pada bila-bila masa sahaja menggunakan capaian internet.

Agensi-agensi Kerajaan negeri Terengganu telah menggunakan SISPAA bermula 1 Januari 2018 dan sehingga kini, terdapat 82 agensi kerajaan yang menggunakan sistem ini.