• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

PTT Jamborace & Funrace Tasik Kenyir Tawar Ganjaran RM100,000

KUALA TERENGGANU, 20 Ogos- Peminat sukan basikal lasak bakal menerima durian runtuh RM100,000 menerusi anjuran program berbasikal lasak, PTT Jamborace & Funrace Tasik Kenyir 2023 yang akan diadakan di Pulau Poh, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu pada 6 dan 7 Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, Hishamuddin Abdul Karim berkata, program anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan Terengganu Inc (TISAW), Terengganu Inc itu bakal menarik lebih 1,000 penyertaan dari seluruh negara.

“Acara sukan ini menawarkan nilai ganjaran keseluruhan mencecah RM100,000, di antara yang tertinggi dalam sejarah pertandingan sukan berbasikal lasak dalam negara, dengan RM50,000 disediakan dalam cabutan bertuah manakala selebihnya adalah hadiah wang tunai bagi kategori-kategori pertandingan.

"Di samping menawarkan 10 kategori terbuka kepada peminat basikal berumur seawal 12 tahun ke atas sehingga 'otai-otai' berusia 56 tahun, hadiah yang ditawarkan juga menarik untuk dimenangi bagi setiap kategori," katanya pada sidang media Majlis Soft Lauching XCO Jamboree & Funrace Tasik Kenyir 2023 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Sementara itu, Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed berkata, program berbasikal tersebut merupakan acara yang julung kalinya diadakan di Pulau Poh memandangkan kawasan hutan dara tersebut baru dibuka secara rasminya pada bulan lalu.

Katanya, dengan wujudnya fasiliti dan kemudahan penginapan, restoran dan jeti, anjuran ini bukan sahaja dapat melonjakkan lagi sektor pelancongan tempatan malah berpotensi menarik minat peminat basikal ke trek berbasikal hutan yang bakal dijadikan kawasan trek tetap.

"Program yang diadakan ini secara tidak langsung dapat membantu rakyat untuk menjana pendapatan tambahan di samping menggalakkan sektor eko-pelancongan di Pulau Poh menerusi pelbagai aktiviti sukan lasak seperti basikal bukit, trek hutan, jet ski dan sebagainya, hasil kedudukan dan bentuk muka bumi strategik" katanya.

Dalam pada itu katanya, Terengganu Inc sentiasa mengalu-alukan penajaan daripada anak-anak syarikat Kumpulan Terengganu Inc serta syarikat-syarikat besar lain untuk mengadakan anjuran kesukanan seperti ini untuk kelestarian sukan berbasikal.

“Terima kasih kepada PTT Synergy Group Berhad, sebuah syarikat pemaju dan infrastruktur yang tersenarai di papan utama Bursa Saham di atas kesudian menaja program ini.

"Kita juga berbangga PTT Synergy Group Berhad telah melahirkan rakyat Terengganu yang berjaya dan kejayaan yang dikecapi ini telah disalurkan melalui program- program CSR di dalam Negeri Terengganu juga," ujarnya.