• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Puluhan Rumah Di Padang Setengge Dibadai Ribut

HULU TERENGGANU, 7 Julai - Ribut yang merosakkan hampir 50 peratus  rumah di perumahan Taman Setengge semalam, disifatkan sebagai yang terburuk berlaku di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Adli Mat Daud berkata kejadian berlaku selepas pukul 6 petang dan kebanyakan kediaman yang rosak adalah membabitkan struktur bumbung akibat diterbangkan oleh angin kencang.

Katanya, terdapat 200 rumah teres di kawasan perumahan tersebut dan hampir separuh telah terjejas akibat ribut yang melanda.

"Sembilan daripada kediaman itu mengalami kerosakan teruk pada bahagian bumbung akibat diterbangkan angin dan 32 rumah mengalami kerosakan sehingga 50 peratus.Manakala 50 buah lagi mengalami kerosakan kecil pada bumbung.

"Buat masa ini, tiada laporan membabitkan individu yang cedera dan pusat pemindahan juga tidak dibuka kerana penduduk terjejas masih memilih untuk tinggal di saudara mara masing-masing," katanya ketika ditemui di Pusat Kawalan Kejadian Bencana di Surau Padang Setengge, hari ini.

Namun, katanya, jumlah kerugian belum dapat dipastikan, setakat ini.

Tambah beliau, demi keselamatan penduduk, pihak Tenaga Nasional Berhad(TNB) telah mengambil langkah awal dengan memotong bekalan elektrik dan akan membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah sebelum membuat penyambungan semula.

Sementara itu, Jawatankuasa Bencana Daerah (JBD) telah mengambil tindakan dengan mengadakan operasi pada malam kejadian untuk membantu mangsa terlibat dan membuat perancangan bagi pasca bencana.

Justeru itu, Mohd Adli menasihatkan agar  warga penduduk yang terlibat sentiasa mematuhi arahan mengikuti perancangan yang telah dirancang demi kebaikan semua pihak.

"Gerak kerja seterusnya, kita akan mengadakan kerja membersih serpihan-serpihan  bumbung, pokok tumbang dan membuat penilaian dan pembaikan segera bagi memastikan penduduk dapat kembali ke rumah masing-masing dengan segera.

"Berdasarkan kepada kerosakan rumah-rumah, kita jangka masa untuk membaikpulih akan mengambil masa satu hingga dua minggu bergantung kepada situasi,"ujarnya.