• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

Pupuk Semangat Patriotik Disebalik Kibaran Bendera

HULU TERENGGANU, 1 September – Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid mengajak seluruh masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama dalam bersama-sama menyemarakkan lagi semangat Kemerdekaan dalam mengharungi pandemik COVID-19.

“Walaupun sambutan kemerdekaan pada tahun ini tidak lagi seperti tahun-tahun sebelumnya, namun sebagai rakyat Malaysia kita sebenarnya mempunyai banyak cara untuk menyatakan rasa cinta terhadap tanah air.

“Sikap cintakan negara bukan hanya sekadar mengibarkan Jalur Gemilang atau berkonvoi bermotosikal seperti setiap sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia malah semangat cintakan tanah air itu seharusnya mesti ada dalam diri kita,” katanya.

Menurutnya lagi, penghayatan erti kemerdekaan di kalangan masyarakat perlu dilaksanakan secara berterusan dari tahun ke tahun supaya semangat cintakan tanah air tidak luntur dan tidak dilupai masyarakat.

Beliau berkata demikian selepas program Kempen Semarak Kibarkan Jalur Gemilang di hadapan pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, semalam.

Dalam anjuran berkenaan sebanyak 200 helai bendera Malaysia diedarkan secara pandu lalu kepada pemandu kenderaan dan masyarakat setempat. 

Menurut seorang penduduk disini, Syed Hasbullah Said Muhammad, menyifatkan kepentingan semangat patriotik dalam melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri.

“Sama-sama mengambil semangat dan pengajaran yang ditunjukkan oleh pejuang, pahlawan dan ulama’ terdahulu dalam menghadapi musuh demi membebaskan tanah air kita,” jelasnya.

Sementara itu, seorang peniaga, Faridah Ismail berkata, tanpa kita sedar semangat patriotisme memainkan peranan besar dalam diri setiap rakyat Malaysia dalam mengekalkan kemerdekaan diperolehi.

“Antara peranan patriotisme adalah membina nilai persefahaman dan penyatuan antara kaum.

Tambahnya, Faridah turut menyeru kesyukuran tersebut dizahirkan dengan mengibarkan jalur gemilang sama ada di rumah, di premis pejabat, perniagaan, dan dimana sebagai tanda simbolik.