• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pusat Autisme Sejahtera Terengganu Penuhi Keperluan Anak Istimewa

KUALA TERENGGANU, 26 Julai - Hasrat ibu bapa yang memiliki anak autisme agar sebuah pusat khas yang menawarkan pendidikan terbaik untuk anak istimewa mereka diwujudkan di negeri ini berjaya direalisasi dengan pembukaan Pusat Autisme Sejahtera Terengganu sejak sebulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat berkata, pusat autisme pertama di Terengganu yang terletak di Jalan Ibrahim, Pasir Panjang itu dibiayai kerajaan negeri manakala aspek pengurusan dikendalikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik.

“Kerajaan negeri telah bersetuju untuk membiayai pusat autisme ini dengan dana permulaan sebanyak RM200,000 dan juga dana pengurusan dimana hampir RM20,000 diperlukan setiap bulan.

“Ini adalah ‘pilot projek’ dan jika ianya berjaya kita akan perluaskan ke kemaman atau Besut,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Pusat Autisme Sejahtera Terengganu, di Jalan Ibrahim, Pasir Panjang disini, semalam.

Turut hadir, Penasihat Pusat Autisme Sejahtera Terengganu, Zuraida Md Noor dan Pengerusi Persatuan Autisme Terengganu, Engku Mohd Hairulnizam Tuan Ahmad.

Sementara itu, Engku Mohd Hairulnizam berkata, pusat tersebut diwujudkan sebagai tempat sokongan moral kepada ibu bapa dalam menghadapi cabaran membesarkan anak-anak autisme.

 "Seramai 40 orang anak autisme telah mendaftar untuk mendapatkan latihan di pusat ini sejak ianya beroperasi.

“Antara program yang diajar termasuk program perkembangan awal kanak-kanak, program vokasional, pendidikan agama dan moral, pendidikan jasmani dan kegiatan kokurikulum yang mana modul pembelajaran disini disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” ujarnya.

Tambah beliau, ibu bapa yang kurang berkemampuan juga boleh mendapatkan khidmat terapi secara percuma sekaligus meringankan bebanan kewangan yang ditanggung mereka.

“Pusat Autisme Terengganu Sejahtera ini juga menjadi tempat sokongan psikososial kepada ibu bapa dan menjadi tempat perbincangan serta tambahan ilmu kepada ibu bapa mengenai penjagaan anak-anak autisme,” katanya.