• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pusat Cari Kerja Terengganu Jadi Rujukan Negeri Lain

KUALA TERENGGANU, 4 Oktober – Pusat Cari Kerja Terengganu mendapat perhatian dan menjadi rujukan negeri-negeri lain.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi Dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Ariffin Deraman berkata ini merupakan pengiktirafan yang baik kepada usaha murni ini. 

Katanya, usaha tersebut melalui kerjasama Pusat pembangunan Sumber Manusia Terengganu (T-HRDC) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Terengganu.

"Bagi menghadapi cabaran 2023, pihak kerajaan amat prihatin terhadap mereka yang penganggur dan kurang bernasib baik. 

“Kita berharap mereka yang belum bekerja untuk tampil ke program karnival, 'outreach' dan program lain yang berkaitan di negeri ini.

"Ia bertujuan supaya memberi peluang kepada mereka untuk mencuba nasib dan terus berusaha mendapatkan pekerjaan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival Kerjaya MYFutureJobs ‘Outreach Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat Negeri Terengganu 2023 bertempat di Terengganu Digital (TD1303), Kuala Terengganu di sini baru-baru ini.

Tambah Ariffin, program Karnival Kerjaya MyFutureJobs tersebut telah bermula pada 30 September sehingga 1 Oktober 2023.

“Alhamdulillah, seramai 199 orang rakyat Terengganu telah hadir pada hari pertama dan sebanyak 181 temuduga telah dijalankan. 

“Karnival ini adalah inisiatif kerajaan negeri, melalui T-HRDC bersama PERKESO sebagai sekretariat Urusetia Pekerjaan Negeri Terengganu," katanya.

Beliau berkata, ia bertujuan bagi mengambil pedekatan proaktif turun padang bersama majikan membawa peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada rakyat Terengganu kerana tidak melepaskan peluang keemasan ini. 

“Semoga dengan platform serta peluang yang diberikan ini, dapatlah diguna sebaik mungkin,” ujarnya.

 


Tag: