• 03 Ogos 2021 | 24 Zulhijah 1442

Pusat Kanak-kanak Terbiar Dibuka Bulan Mac

KUALA TERENGGANU, 25 Februari – Terengganu bakal membuka pusat kanak-kanak terbiar bernilai RM2 juta pada 15 Mac nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, 'Raudhatul Jannah' itu akan berpusat di Darul Iman Training Centre (DITC), Kemaman.

Katanya, ia akan menempatkan kanak-kanak yang diabai, didera atau menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

"Buat permulaan kita akan masukkan seramai 20 lelaki dan 20 perempuan dalam usia lingkungan pelajar sekolah rendah, bukan sahaja dalam kalangan anak Terengganu.

“Ini kerana kes-kes serius seperti penderaan tidak berlaku dalam negeri sahaja, oleh itu pusat ini untuk seluruh negara, terutamanya ketika menghadapi tekanan hidup akibat kekangan wabak pandemik COVID-19.

“Pengisian bagi mereka semasa di pusat ini akan menggunakan modul keagamaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Wisma Darul Iman, pagi semalam.

Tambah Hanafiah, walaupun isu itu tidak terlalu serius dalam negeri ini, kerajaan tetap memberi tumpuan terutamanya kepada mereka yang terbiar dan didera.

Mengulas lanjut berkenaan kos menyiapkan pusat tersebut, Hanafiah memaklumkan, kos baikpulih dan kelengkapan prasarana melibatkan hampir RM600,000.

"Jika dicampur bersama kos operasi jumlahnya dalam sekitar RM2 juta.

“Pusat ini merupakan fasa pertama dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) Yayasan Amal, jika fasa ini berjaya, maka kita akan lihat kepada keperluan untuk berkembang ke daerah lain,” jelasnya.