• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Pusat Keselamatan Bertaraf Dunia Pertama Di Pantai Timur

Dr Mamad Puteh (tengah) sedang mendengar taklimat sistem penerbangan.
KUALA TERENGGANU, 29 Januari - Pusat mencari dan menyelamat bertaraf dunia atau dikenali sebagai Aeronautical Rescue Sub Centre di Lapangan Terbang Sultan Mahmud dijangka siap dan dapat beroperasi Februari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, pusat yang baru dibina oleh Kerajaan Persekutuan itu merupakan satu-satunya pusat bertaraf dunia yang ada di Pantai Timur.

Jelasnya lagi, pusat tersebut akan berfungsi untuk mencari dan menyelamat sekiranya berlaku sebarang kemalangan laut dan udara di negeri sekitarnya seperti Pahang dan Kelantan.

“Aeronautical rescue yang baru ditubuhkan, yang mana kita adalah satu-satunya lokasi (pejabat) yang ada di sini (Terengganu).

“Yang memberi respon awal berkaitan dengan aeronautical rescue sekiranya ada apa-apa kemalangan di sekitar sini, sama ada dari Kelantan ataupun di Pahang dengan secepat mungkin,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang berkata demikian pada sidang media selepas Lawatan Kerja ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terenganu semalam.

Turut hadir dalam lawatan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, pegawai-pegawai kastam dan imegresen serta wakil syarikat penerbangan.
Dr Mamad Puteh dibawa melawat kawasan sekitar lapangan terbang.
Pusat yang terletak bersebelahan Lapangan Terbang Sultan Mahmud itu akan lengkap dan mula beroperasi pada bulan depan.

Dengan adanya pusat mencari dan menyelamat bertaraf dunia tersebut, sudah tentu ia akan merancakkan lagi pembangunan dan industri pelancongan di negeri Terengganu.

Terdahulu beliau diberi taklimat dan dibawa melawat sekitar kawasan utama di Lapangan Terbang Sultan Mahmud yang dahulunya dikenali sebagai Lapangan Terbang Telaga Batin.
Dr Mamad Puteh bergambar kenangan dengan pengurusan tertinggi lapangan terbang Sultan Mahmud.
Untuk rekod, lapangan terbang yang berkeluasan 25,000 meter persegi ini mula beroperasi pada tahun 1948.

Tag: