• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Pusat Khidmat Bukit Besi Agih Makanan Sahur Buat Petugas Plaza Tol


Sukarelawan mengagihkan makanan sahur kepada petugas malam di sekitar Bukit Besi.


Oleh : Adli Mohamad.

DUNGUN, 20 Mei – Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi mengagihkan bekalan makanan sahur buat petugas Plaza Tol Bukit Besi yang bertugas malam dalam Program Singgah Sahur, awal pagi semalam.

Pegawai Penyelaras DUN, Ghazali Sulaiman berkata, program itu diadakan bertujuan menyantuni dan bertemu mata dengan para petugas yang bersengkang mata di malam hari untuk memastikan perjalanan seharian insan lain lancar dan sempurna.

"Kita mengambil kesempatan pada bulan Ramadan yang penuh kemuliaan dan keberkatan ini untuk mendekati golongan berkenaan.

"Agihan bekalan makanan untuk bersahur kita telah agihkan kepada seluruh pekerja yang bertugas di waktu malam termasuklah pengawal keselamatan di sekolah rendah dan sekolah menengah, agensi dan jabatan-jabatan yang ada di seluruh DUN Bukit Besi," jelasnya ketika ditemui pihak Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), dalam program tersebut.

Turut hadir, Pembantu Hal Ehwal Masyarakat, Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Bukit Besi, Mohd Nor Azian; Pembantu Hal Ehwal Belia i-MiTS DUN Bukit Besi, Che Wan Mohd Fikri Che Wan Mubin, Ketua Pemuda PAS Bukit Besi, Mohd Ridhuan Yusoff.

Menurut Ghazali, program berkenaan berakhir dengan menyantuni penduduk yang mengawal keselamatan kampung di Felda Jerangau.

"Terima kasih juga kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan juga sukarelawan yang telah bertugas bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat dalam pelbagai cara," katanya.

Beliau turut menzahirkan terima kasih kepada seluruh pihak yang terlibat menjayakan Program Singgah Sahur pada hari berkenaan dan berharap agar apa yang dijayakan itu mengundang keberkatan di sisi Allah SWT.


Tag: