• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Pusat Khidmat DUN Platform Maklumat Usahawan



KUALA TERENGGANU, 10 Disember - Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negeri ini meluaskan peranannya dengan bertindak sebagai platform penyebaran maklumat mengenai pembiayaan yang disediakan kerajaan untuk mereka yang berminat menceburi bidang perniagaan.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri,  Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, Pusat Khidmat DUN akan berfungsi sebagai pusat sehenti kepada para usahawan untuk mendapatkan info mengenai bentuk pinjaman, bantuan pembiayaan, khidmat nasihat dan sebagainya yang disediakan kerajaan.


“Kita telah mengadakan satu taklimat bersama pegawai di Pusat Khidmat DUN dan mereka akan membantu peniaga yang memerlukan khidmat petugas ini termasuk cara mengisi borang bagi memohon pinjaman, khidmat nasihat dan sebagainya seolah-olah Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) mempunyai cawangan di sana.

“Selain borang, segala maklumat mengenai bantuan perniagaan, pembiayaan yang disediakan oleh agensi kerajaan negeri dan pusat akan dipaparkan dalam bentuk risalah dan seumpamanya di Pusat Khidmat DUN mulai Januari ini,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di program Sembang Santai Bersama Usahawan Peringkat Kuala Terengganu dan Marang di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Rozali Salleh serta ketua-ketua jabatan daripada 22 agensi yang terlibat dengan pembangunan usahawan.

Katanya, kerajaan juga berharap setiap pemohon dapat memanfaatkan tawaran yang disediakan supaya tiada usahawan yang tertinggal dan terpinggir daripada bantuan yang disediakan.


Tag: