• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Pusat Khidmat Kuala Nerus Ziarah, Bantu Pesakit Kronik

 Wan Yusrizal Wan Shafi'i memberi semangat kepada pesakit.


Oleh: Nizam at-Takiri

KUALA NERUS, 5 Mac - Sekretariat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus (PKAPKN) telah menziarahi empat buah keluarga yang menghidap penyakit strok, kencing manis dan jantung di Kampung Seberang Tuan Chik dan Bukit Tok Ris.

Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Wan Yusrizal Wan Shafi'i berkata, program ziarah yang dijalankan itu mampu menaikkan semangat pesakit-pesakit untuk terus bertarung melawan penyakit mereka.

Jelasnya, selain rawatan perubatan biasa yang harus dilalui, pesakit juga perlu diziarahi sebagai suntikkan moral untuk mereka

Ramai pesakit yang dilawati pada hari ini merupakan pesakit-pesakit yang kronik yang memerlukan rawatan yang lanjut dan perlu dibantu.

“Secara tidak langsung, program ini juga akan memberi keceriaan dan meringankan beban mereka,” ujarnya.
Sumbangan untuk meringankan pesakit.

Beliau berkata demikian semasa menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada pesakit di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, semalam.

Turut hadir, pegawai-pegawai PKAPKN dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTs) Dun Bukit Tunggal, serta Ahli Jawatankuasa (AJK) Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Tok Ris dan Seberang Tuan Chik.

Menurut salah seorang pesakit, Syed Abd Aziz Syed Mohd, 64, beliau berkata, penyakit jantung yang dihidapi oleh beliau memberi kesukaran kepadanya untuk melakukan kerja seharian.

Beliau juga terpaksa bergantung kepada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan untuk menampung perbelanjaan harian.
Program ziarah memberi semangat kepada pesakit.

“Penyakit kronik ini memang menghalang saya untuk melakukan kerja seharian dengan baik.

“Namun, sumbangan yang diterima dari pusat kebajikan meringankan sedikit beban yang saya hadapi,” katanya.

Dalam program itu, PKAPKN telah memberi sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan harian kepada pesakit-pesakit.




Tag: