Pusat Pemindahan Kampung Shukor Ditenggelami Banjir

DUNGUN, 6 Januari - Situasi semasa banjir di Hulu Dungun bertambah buruk selepas Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Kampung Shukor di sini turut dinaiki air hari ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Dungun, Kapten (PA) Ahmad Kamal Ngah berkata, paras air mula meningkat secara mendadak sejak pagi tadi akibat hujan lebat.

Katanya, ia menyebabkan pada mangsa-mangsa banjir terpaksa dipindahkan ke lokasi lain.

“PPS Sekolah Kebangsaan Kampung Shukor dan dewan serbaguna tersebut kini dinaiki air banjir paras pinggang menyebabkan kira-kira 20 keluarga atau 88 mangsa terpaksa berpindah sekali lagi.

“Mereka telah dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Kampung Minda, rumah pengerusi kampung dan menumpang rumah penduduk lain.

“Sehingga 4.00 petang, kira-kira 74 keluarga telah dipindahkan di kawasan Hulu Dungun dan jangkaan situasi sekarang air akan meningkat lagi,” katanya ketika dihubungi UPDI.

Beliau yang juga Sekretariat  Pengurusan Bencana Banjir Daerah Dungun memaklumkan, cabaran dari segi logistik kenderaan sedang dihadapi dalam banjir kali ini

Namun katanya, hasil kerjasama semua pihak beberapa perkara masalah dapat diatasi.

"Bantuan makanan dan keperluan bagi mangsa turut diagihkan di rumah pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.