Khidmat Malaysia Anjur Dapur Rakyat Ringankan Beban Mangsa Banjir
Pusat Sains Terengganu Catat Kehadiran Lebih 74,000
KUALA TERENGGANU, 20 September - Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) terus menjadi daya tarikan pelancongan berteraskan pendidikan apabila mencatatkan jumlah pengunjung tertinggi melebihi 74,000 orang.
Tengku Seri Bijaya Raja, Setiausaha Kerajaan Terengganu berkata, jumlah kehadiran itu bermula Januari hingga Ogos tahun ini dan ia dijangka akan terus meningkat sehingga 150,000 sebagaimana yang disasarkan tahun ini.
"Bagi pihak kerajaan negeri saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada PSKT kerana telah menjadi salah satu destinasi tarikan pelancongan berteraskan pendidikan (edu-tourism) yang mencatatkan jumlah pengunjung tertinggi," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap Menyempurnakan Majlis Penutup Pertandingan 'Spark Your Creativity Challenge 2023', di sini, semalam.
Dalam pada itu, Tengku Seri Bijaya turut menyeru agar ibu bapa terus menjadikan PSKT sebagai pilihan untuk membawa anak-anak bagi meluangkan waktu dengan melakukan aktiviti yang bermanfaat.
"Banyak aktiviti menarik yang disediakan agar anak-anak kita dapat menyuntik minat, membangunkan potensi dan memperkasakan daya saing dalam subjek berkaitan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM)," ujarnya.