• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pusat Sehenti NGO Mula Operasi

KUALA TERENGGANU, 13 Jun - Kerajaan Negeri menerusi Al-Fateh Terengganu Sdn Bhd telah melancarkan Anjung Sejahtera NGO Terengganu yang berfungsi sebagai pusat sehenti setempat (one-stop center) di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata pusat tersebut boleh digunakan oleh mana-mana Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi melancarkan sebarang aktiviti atau mesyuarat pertubuhan.

Katanya, pelbagai kemudahan yang disediakan seperti dewan mesyuarat besar dan kecil, ruang rehat yang selesa, pantry, bilik berhawa dingin, kemudahan komputer, printer dan juga internet.

“Dengan pelancaran pusat itu dapat meningkatkan kerjasama dan komunikasi antara NGO-NGO seluruh negeri di Terengganu.

“Ia sekaligus menjadikan pusat tersebut sebagai mediator atau penghubung antara NGO-NGO kepada agensi kerajaan,” jelasnya.

Beliau berkata ketika Majlis Pelancaran Anjung Sejahtera NGO Terengganu dan Perasmian Pejabat Urusan Al-Fateh Terengganu Sdn Bhd bertempat di Kompleks Usahawan Terengganu (KUT), Kubang Jela, Manir kelmarin.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim.

Tambah Wan Sukairi, Al-Fateh Terengganu Sdn Bhd atau lebih dikenali sebagai Akademi Kepimpinan Al-Fateh Terengganu berperanan dalam usaha untuk memastikan kelancaran segala proses NGO di negeri ini.

Tambahnya, meliputi pelbagai sudut antaranya keperluan, pelaksanaan dan platform latihan secara bersasar, berperingkat dan bersiri.

“Akademi Kepimpinan Al-Fateh Terengganu juga membantu meningkatkan imej dan pencapaian belia, beliawanis, sukan dan NGO Terengganu menerusi jaringan media masa dan sosial serta pengaruh akar umbi majoriti belia Terengganu.

“Jalinan kerjasama strategik ini diharapkan mampu memperkukuhkan hubungan dengan semua pihak yang terlibat dalam pembangunan belia secara holistik di negeri ini,” ujarnya.

Majlis tersebut diakhiri dengan sesi lawatan bersama tetamu kenamaan dan tetamu-tetamu jemputan ke Pejabat Anjung Sejahtera NGO Terengganu dan seterusnya lawatan ke Pejabat Urusan Al-Fateh Terengganu Sdn Bhd.

 

 

 

 

 


Tag: