• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Puyuh Bermadu, Hanya Satu

Abd Salam Mohamad dan isterinya.
KUALA TERENGGANU, 30 Mac - Keistimewaan produk industri asas tani, 'Puyuh Madu Jogek' hanya terdapat di bandar raya ini yang diusahakan oleh sepasang suami isteri sejak setahun lalu.

Pengurus Operasi Syarikat Albakry Farm The Puyuh Negeri Terengganu, Abdul Mubin Mohamad, 35, berkata, dia mula menternak puyuh pada 2009 dan memberanikan diri untuk mengeluarkan produk baru itu ke pasaran sebelum perniagaan berkenaan makin mendapat sambutan ramai.
Abdul Mubin

“Saya mendapat banyak manfaat dan pertolongan serta khidmat nasihat daripada agensi Jabatan Veterinar sejak mula hingga sekarang. Malah, sehingga kini saya masih menternak haiwan itu dan banyak puyuh dapat dikeluarkan bagi memenuhi permintaan pelanggan dari semasa ke semasa.

“Saya  melihat  perlunya ada satu pembaharuan dalam jualan iaitu dengan mengeluarkan puyuh yang boleh terus dimakan oleh penggemar makanan eksotik itu. Jika sebelum ini kita banyak hasilkan puyuh yang disejuk beku, tetapi untuk terus menghidupkan perniagaan ini timbul idea mengubahnya kepada puyuh madu yang siap dibakar,” jelasnya.

Katanya ketika ditemui media Urusetia Penerangan Darul Iman, di kedainya di Kampung Kuala Bekah, di sini, baru-baru ini.

Abdul Mubin memberitahu, kini dia sudah memiliki 20 francais Puyuh Madu Jogek termasuk di Kota Baharu, Jeli dan Tanah Merah (Kelantan), hadapan Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Dungun, (Terengganu), Sungai Besar (Selangor) dan terbaru akan beroperasi di Cyberjaya, Selangor pada Ramadan nanti.

Katanya lagi, dia juga mempunyai ladang kontrak kecil yang membekalkan produk tersebut untuk dipasarkan.

“Kita memiliki satu ladang kita sendiri yang mengeluarkan puyuh bermula dari induk, telur, menetas kemudian penjagaan anak puyuh, penyembelihan sebelum diproses dan diperap dengan rempah madu jogek dan akhirnya boleh dijual di semua stokis francais.

“Semua rantaian proses daripada mentah sehingga siap dan sebelum dipasarkan lazimnya mengambil masa dalam tempoh sebulan,” ujarnya.


Tambahnya, dia juga membangunkan beberapa kawasan ladang ternakan puyuh seperti di Teluk Pasu (Kuala Terengganu), Sungai Ikan (Kuala Nerus), Seri Bandi (Kemaman) dan di Simpang Renggam, Kluang, Johor.

Sementara itu, Pegawai Pembimbing Usahawan Veterinar Negeri Terengganu, Wahani Abdul Wahab berkata, jabatannya sudah berjaya membantu ramai usahawan termasuk Abdul Mubin sejak 2009 lagi.

Wahani
“Kita bantu dia meningkatkan pengeluaran daripada usahawan mikro sehingga sekarang menjadi usahawan berimpak sederhana,” katanya.

Justeru itu, beliau yang juga Penolong Pegawai Veterinar berharap agar pengusaha kecil dan sederhana mampu berdiri sendiri sehingga menjadi usahawan yang berjaya di peringkat lebih tinggi satu masa nanti.

Manakala seorang penjual Puyuh Madu Jogek yang dahulunya bekerja di pelantar minyak, Abd Salam Mohamad, 38, berkata, dalam resepi puyuh tersebut terdapat 14 jenis rempah berbeza dengan penyediaan masakan yang lain.

“Puyuh pusing madu jogek tidak rugi diusahakan sebab tiada lagi berjinak dengan perniagaan seperti ini. Hanya saya seorang baru mengusahakannya. Sebelum ini kalau biasa kita jumpa peniaga ayam pusing. Di mana-mana ayam pusing, tetapi sekarang ini kita buat puyuh pusing.

“Puyuh pusing madu berharga  RM5 dan RM6 satu ekor mengikut saiz,” katanya.

Selain itu Abdullah berkata, perniagaannya yang bermula Disember tahun lalu semakin maju dan menggalakkkan apabila jualannya kini mampu mencecah kira-kira 120 hingga 130 ekor sehari.

Perniagaannya beroperasi di hadapan Balai Raya Kampung Kuala Bekah pada Sabtu hingga Khamis, sementara di hadapan Masjid Pengadang Baru pula beroperasi pada Jumaat.




Tag: