• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

SEPANG, 16 Ogos - Pelumba cilik Terengganu, Qabil Irfan Azlan berada di kelas tersendiri apabila menjuarai perlumbaan 1 dan 2  bagi kategori 110cc dalam pusingan 1 SIC Motogp Championship 2020 hari ini.

Qabil yang juga antara pelumba termuda dalam kejohanan ini nyata tidak berdepan sebarang masalah untuk mengatasi pelumba-pelumba senior.

Dalam perlumbaan 1, pelumba yang mendapat julukan Valentino Rossi Jr gah menamatkan perlumbaan dengan 15 minit 39 saat meninggalkan Danish Rahman (Johor) serta Adie Putra (Melaka) untuk tempat kedua dan ketiga.

Manakala dalam perlumbaan 2 pada sebelah petang, Qabil sekali membuktikan kejaguhannya apabila terus berjaya mengekalkan podium pertama daripada dirampas pelumba Johor.

Kemenangan bergaya Qabil pasti akan menguatkan lagi impiannya untuk menjadi seperti ikon sukan permotoran dua roda negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang beraksi sehingga ke peringkat tertinggi, Kejuaraan Motosikal Dunia

Dalam pada itu, seorang lagi pelumba Terengganu, Hakim Danish yang beraksi dalam kategori 160cc tidak kurang hebatnya apabila menuruti pencapaian podium pertama Qabil.

Memenangi kedua-dua pusingan perlumbaan sudah cukup memberi kebanggaan kepada seluruh jentera pasukan Hakim.

Apatah lagi, pesaing di tempat kedua dan ketiga ditinggalkan jauh oleh pelumba yang menggunakan motor bernombor 19 itu.

Untuk rekod, kejohanan sulung ini sebahagian daripada MAM SpeedWeek yang akan berlangsung sebanyak lima pusingan di SIKC sehingga Disember depan membabitkan 21 peserta muda daripada lingkungan umur lapan hingga 13 tahun berentap merebut gelaran.

Inisiatif dilakukan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan kerjasama ZK Racing kendalian ikon dua roda negara, Zulfahmi Khairuddin ini bakal menggunakan jentera BucciMoto BR-10 GP yang berkapasiti 110cc dan 160cc.


Tag: