• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

Qari Marang Antara 237 Orang Penerima Tanah RTB Gong Nangka

MARANG, 14 Februari - Qari Tilawah Al-Quran Daerah Marang, Ahmad Syahir Yahya meluahkan perasaan gembira tidak terhingga apabila menerima Tanah Lot Berkelompok Tapak Kediaman di sini baru-baru ini.

Ahmad Syahir Yahya, 29,  menerima Tanah Lot Kediaman Rancangan Tanah Berkelompok Kawasan Gong Nangka, Marang dengan syarat membayar premium tanah dalam masa enam bulan, juga merupakan manifesto Kerajaan Negeri Terengganu.

“Walaupun tidak dapat hadir kerana isteri hendak bersalin, saya diwakili oleh ayah ke majlis undian tanah lot tersebut , dan merasa amat bersyukur kerana terpilih untuk menerima tanah anugerah itu.

“Usaha kerajaan negeri ini sangat besar kepada rakyat negeri Terengganu yang sangat memerlukan tanah lot kediaman," katanya yang pernah merangkul johan Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Marang pada tahun 2019 ketika dihubungi pemberita.

Seramai 237 orang menerima borang Jadual Satu melibatkan 199 unit tanah lot kediaman di Kampung Gong Nangka dan 38 unit di Kampung Gong Cempedak.

Peserta dan pemohon yang terlibat dalam RTB ini adalah penduduk kampung setempat dan sekitar yang tidak mempunyai kawasan tanah untuk diangkat secara berkelompok oleh peringkat kampung masing-masing.

Sementara itu, Pegawai Daerah Marang, Lijan Che Mat berkata, pemohon mestilah mula mengumpul simpanan untuk membayar premium tanah dalam tempoh enam bulan.

“Kerajaan Negeri Terengganu telah mengenakan bayar sebanyak 10 peratus sahaja menjadikan premium tanah ini adalah termurah berbanding negeri lain.

Ucapnya lagi, rakyat harus menghargai usaha kerajaan khususnya pemimpin seperti ini, yang menitik beratkan keperluan rakyat termasuk anak muda.

"Pemohon yang memohon tanah ini mestilah merupakan rakyat Terengganu, dimana syarat ini menunjukkan rakyat Terengganu harus bersyukur kerana mendapat kelebihan seperti ini," tambahnya lagi.

Turut hadir, Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman serta Pengarah Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang, Hasan Awang.

 


Tag: