HULU TERENGGANU, 18 September - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk mengeluarkan stok ikan sejuk beku Q'Fish di pasaran bagi menstabilkan harga ikan di pasaran.
Timbalan Menteri, Dato' Rosol Wahid berkata, penjualan ikan Q'Fish adalah alternatif kepada orang ramai yang berdepan dengan peningkatan harga ikan.
Katanya, Q'Fish membantu menstabilkan harga ikan dan mengurangkan impak peningkatan kos sara hidup pengguna ketika berhadapan dengan wabak pandemik COVID-19 ketika ini.
"Kita dapat aduan dalam Facebook, dari pegawai dan secara terus kepada saya mengenai kenaikan ini, ikan selar dijual RM16 sekilogram manakala ikan kembung pula hingga RM22 sekilogram....oleh itu ikan Q'Fish akan menjadi alternatif kepada pengguna.
“Ikan Q'Fish tak sama dengan ikan kotak.Ia masih segar dari laut dan dibekukan segera malah sangat berbaloi dengan harga yang ditawarkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin Di Akademi Binaan Malaysia Jenagor di sini, hari ini.
Justeru itu katanya, orang ramai disarankan meningkatkan penerimaan dan kesedaran terhadap pengunaan Q'Fish sebagai pilihan kedua selain ikan segar di pasaran.
Q'Fish ialah ikan segar beku berkualiti dikeluarkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang dijual dengan harga murah kepada pengguna.
Produk ini bersifat tahan lama, menawarkan kadar harga yang berpatutan serta tidak bergantung pada faktor cuaca atau musim.