• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Raih Pahala Dengan Wakaf Al-Quran Bersama YIT

KUALA TERENGGANU, 28 April - Yayasan Islam Terengganu (YIT) membuka ruang kepada orang ramai yang ingin menyumbang bagi program wakaf al-Quran sekali gus meraih ganjaraan bernilai.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata sumbangan itu akan membantu kepada mereka yang daif dan meluaskan lagi medium kebajikan serta kemanusiaan untuk membantu mereka yang memerlukan al-Quran.

Katanya, dengan wang tersebut, ia akan digunakan untuk mencetak al-Quran untuk disumbangkan ke pusat-pusat pengajian al-Quran, masjid, surau dan pihak yang memerlukan.

"Oleh itu, saya menyeru kepada orang ramai untuk sama-sama membuat pelaburan yang modalnya serendah RM5 yang mampu dilakukan oleh semua golongan masyarakat tetapi ganjarannya cukup besar. 

"Bayangkan pahala mengalir masuk daripada setiap ayat yang dibaca oleh penerima wakaf al-Quran secara berterusan," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pengurusan Wakaf Al-Quran Yayasan Islam Terengganu sempena Sambutan Hari Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu tahun 2021 di Dewan Tingkat 4, Menara YIT, hari ini.

Turut hadir, Pengarah YIT, Rozali Salleh.

Tambahnya lagi, wakaf al-Quran ini bermula dengan harga RM5 iaitu 1/4 bahagian daripada senaskah al-Quran yang bernilai RM20 bergantung kepada kemampuan pewakaf.

Mohd Nor berkata pihaknya juga akan merancakkan aktiviti wakaf al-Quran secara berterusan bagi menggalakkan umat Islam untuk beramal jariah tanpa mengira bulan.

Tambah beliau, pihaknya turut akan memperluaskan program wakaf al-Quran ke luar negara bagi mereka yang memerlukan seperti di Syria dan Yaman jika mendapat permintaan.

Orang ramai yang berminat untuk salurkan sumbangan boleh melayari laman Web Rasmi  Yayasan Islam Terengganu https://yit.gov.my atau facebook yayasanislamterengganu_official atau https:yit.onpay.my.