• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Raih RM 1,000 Sehari Hasil Jual Keropok Lekor




Oleh : Khairan Mat Jusoh

MARANG, 1 Julai – Seorang peniaga keropok lekor di Wakaf Tapai berjaya meraih pendapatan RM1,000 sehari sepanjang tempoh perayaan Aidilfitri.

Pemilik ‘Peza Keropok Lekor Wakaf Tapai’, Faizal Yunos, 32, berkata, dia tidak menyangka mampu memperoleh hasil sebanyak itu.

Katanya, permintaan terhadap keropok lekor meningkat sepanjang tempoh itu dan kebanyakannya untuk majlis rumah terbuka hari raya.

“Mula-mula sekali saya menerima tempahan katering adalah dengan Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan untuk majlis hari raya DUN tahun lepas, setelah dicadangkan oleh rakan saya sendiri.

"Bermula dari situlah, tempahan katering seperti ini menjadikan produk saya semakin dikenali dalam kalangan masyarakat sekitar ini,” ujarnya.

Dia berkata demikian kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Kampung Jerong Surau, di sini semalam.


Menurut Faizal, usahanya untuk menghasilkan keropok lekor berkualiti selepas diuji dengan masalah kewangan empat tahun lalu, akhirnya membuahkan hasil apabila produknya itu dipuji oleh masyarakat di sekitar Marang.

Niatnya juga dalam mencari dan memberi nafkah kepada isteri serta empat orang anak, membuatkan dia terus bersemangat serta berusaha untuk meneruskan perniagaan itu walaupun permulaannya tidak memberikan hasil yang lumayan.

 “Rasa keropok asli seperti dulu-dulu dengan berkat usaha selama tiga tahun lebih dihabiskan, walaupun permulaan perniagaan saya hanya mampu meraih pendapatan sebanyak RM300 sebulan,” jelasnya lagi. 

Tambahnya, kini dia bercita-cita untuk mengembangkan lagi perniagaan yang memperoleh RM300 hingga RM500 sehari pada hari biasa itu dengan membuka sebuah kilang kelak.

“Bukan sahaja akan memberi peluang pekerjaan kepada orang-orang tempatan, malahan akan menjadikannya salah satu produk pelancongan Negeri Terengganu,” tambahnya.

Faizal memiliki sebuah gerai di Wakaf Tapai, berdekatan jalan menuju ke Kuala Berang yang beroperasi dari pukul 11.00 pagi hingga 6.00 petang.




Tag: