• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Raja Muda Perkenan Rasmi Simposium Pelaksanaan Syariah Terengganu

KUALA TERENGGANU, 14 September - Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Simposium Pelaksanaan Syariah dalam Itqan al-Muluk Bita’dil Assuluk.

Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama isteri, To’ Puan Seri Faezah Tuan Abd Rahman serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.

Ahmad Samsuri berkata, sebagai seorang rakyat Terengganu, kita hendaklah mengingati jasa besar Duli Yang Maha Mulia Tuanku-Tuanku yang pernah memerintah Negeri Terengganu Darul Iman ini.

“Oleh kerana, usaha Tuanku-Tuanku tersebut menjadikan negeri aman dan damai di bawah satu undang-undang yang dinamakan Itqan Al-Muluk Bi Ta’adil Assuluk atau nama lain undang-undang bagi diri Kerajaan Terengganu," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika majlis Perasmian Simposium Pelaksanaan Syariah dalam Itqan Al-Muluk Biya’dil As-Suluk dan pameran sempena 25 tahun Pemerintahan KDYMM Sultan Terengganu bertempat di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu di sini hari ini.

Tambah Ahmad Samsuri, Fasal yang ke-51 dalam Itqan Al-Muluk Bi Ta’adil Assuluk ada disebut bahawa sesungguhnya telah disifatkan dan disebutkan dan ditetapkan selama-lamanya Kerajaan Terengganu ini.

Tambahnya, sebagai kerajaan Islamiah, Melayuwiah yang dikatakan agama negeri dan kerajaan. 

“Sebagai rakyat Negeri Terengganu, kita mestilah meneruskan amanat ini dengan semampu kudrat masing-masing," ujarnya.

Baginda turut berkenan melawat pameran-pameran yang disediakan oleh Semua Agensi Agama Negeri Terengganu Selepas majlis perasmian tersebut.

Program yang bermula pada jam 8 pagi itu berjalan lancar dengan kehadiran lebih 500 peserta dari pelbagai agensi kerajaan.

 

 

 


Tag: