• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Raja Muda Terengganu Kurnia Baju Raya

HULU TERENGGANU, 6 April - Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli mengurniakan Sumbangan Sempena Hari Raya Aidilfitri kepada 300 orang pelajar terpilih di daerah ini.

Turut mengiringi baginda, YAM Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Dato Seri Muhammad Mua’az, YAM Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah Zahrah dan YAM Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra.

Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.

Pada majlis yang diadakan di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) itu, seramai 300 orang penerima bantuan Aidilfitri daripada dua daerah yang terlibat iaitu Marang dan Hulu Terengganu.

Sumbangan tersebut adalah berupa sepasang baju raya, wang ringgit berjumlah RM200, dan sekotak buah kurma bagi setiap seorang pelajar terpilih.

Dua daerah tersebut terdiri daripada 93 buah sekolah yang mempunyai bilangan pelajar 145 lelaki dan 155 perempuan.

Program yang bermula pada pukul 8.45 itu diawali dengan alunan bacaan ayat suci Al-Quran daripada Qari, Mohamad Syakir Asyraf Shahaimi dan diteruskan dengan pengagihan sumbangan kepada 300 orang pelajar yang terpilih pada program itu.

Majlis tersebut berjalan dengan lancar yang dihadiri kira-kira 500 orang termasuk para pelajar, guru-guru serta kakitangan awam dan majlis itu berakhir pada jam 10.30 pagi.

 


Tag: