• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pengamal Media Puji Usaha Kerajaan Terengganu

KUALA TERENGGANU, 28 November – Para pengamal media di Terengganu menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri yang mengambil berat peranan golongan tersebut dengan menganjurkan Majlis Apresiasi Media.

Ketua Biro Bernama, Zalina Maizan Ngah berkata, penganjuran program itu adalah sebuah tanda penghargaan yang sukar digambarkannya.

“Usaha ini sangat baik terutamanya dalam memberi kami semangat untuk terus menulis dan memberi gambaran yang bagus berkenaan negeri Terengganu.

“Kerjasama antara pihak kami dengan kerajaan negeri sentiasa ada, mungkin ada beberapa ruang yang boleh diperbaiki, namun kita akan bergerak seiring, dari semasa ke semasa,” katanya semasa ditemubual pemberita dalam Majlis Apresiasi Media Terengganu, malam semalam.

Bernama Biro Terengganu membawa pulang wang tunai RM10,000 selepas memenangi 7 anugerah utama di Anugerah Apresiasi Media Terengganu, semalam

Terdahulu, beliau berjaya mendapat tempat pertama kategori Berita Media Cetak (Media Perdana), karyanya bertajuk ‘Harumanis Terengganu Subur Manis Lenting’ berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,500 beserta sijil dan trofi.

Bagi wartawan sambilan Bernama, Kamaliza Kamarudin pula, acara pertama kali dianjurkan kerajaan negeri tersebut merupakan suatu yang sangat dinantikan warga kerja media.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri serta penganjur Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dalam menyuburkan hubungan dua hala.

“Kerajaan akan menyampaikan maklumat, manakala kita melaporkannya tanpa sebarang kekeliruan, agar semua lapisan masyarakat mendapat penerangan jelas berkenaan apa saja usaha negeri,” katanya.

Sementara itu, pendapat sama turut dilaungkan pemberita TV3 Terengganu, Mohd Ishak Abdillah Ngah yang menyifatkan penghargaan Kerajaan Negeri mengiktiraf pihaknya serta membakar semangat supaya terus ikhlas bekerja dan membina hubungan ‘win-win’ antara pihak terlibat.

“Berkhidmat selama 12 tahun di Terengganu, kita sering seiring dengan apa pentadbiran negeri mahu iaitu kerjasama baik dan mencari solusi kepda kelemahan.

“Diharapkan agar usaha seperti majlis anugerah mala mini diteruskan pada masa hadapan dalam memberi manfaat kepada kita semua,” jelasnya yang juga Johan kategori Video Kebajikan daripada Media Perdana.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah Dan Penerangan, Mohd Nor Hamzah berkata, Majlis Apresiasi Media Terengganu yang julung kali diadakan oleh kerajaan negeri adalah antara salah satu inisiatif dalam menguatkan hubungan antara dua pihak tersebut.

“Ini adalah tanda pengiktirafan media yang telah menunjukkan prestasi cemerlang, di samping mendorong para pengamal di negeri untuk terus menambah-baik mutu penyampaian dan perkhidmatan ditawarkan.

“Pada malam ini juga, kita bersama-sama meraikan serta mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengamal media yang telah menyumbang dalam mempromosikan negeri ini.

“Saya mengharapkan kerajaan negeri dan media akan terus bekerjasama dan saling berinteraksi dalam menyebar luas maklumat kepada rakyat. Sebaran yang jelas mengenai negeri ini kepada rakyat akan terus dipergiatkan di semua platform,” tambahnya.