• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Rakyat Diminta Sedia Hadapi Banjir

KUALA TERENGGANU,10 Oktober – Rakyat Terengganu diminta bersedia untuk menghadapi kemungkinan banjir susulan monsun timur laut.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pihaknya sudah bersiap siaga dari segi kekuatan anggota di musim banjir ini.

Katanya, seramai 2,779 anggota yang terdiri daripada pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM), bomba dan lain-lain NGO yang akan memberi sokongan dalam menghadapi banjir. 

“Di peringkat NGO Khidmat Malaysia pula yang terdiri daripada Jabatan Amal, Yayasan Amal dan lain-lain juga telah bersedia untuk membantu mereka yang dilanda banjir.

“Sebanyak 580 Pusat Permindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri Terengganu bersedia untuk menempatkan mereka yang dilanda banjir pada tahun ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa bersiaran langsung di Selamat Pagi Malaysia (SPM) semalam.

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengagihkan barangan keperluan asas dan bekalan makanan ke pangkalan hadapan serta depoh mini di seluruh negeri sebagai persediaan menghadapi banjir.

Beliau berkata, proses pengagihan kepada 149 pangkalan hadapan dan 17 depoh mini itu telah dilakukan secara berperingkat mulai awal bulan ini.

Tambah Hanafiah, kerajaan memperuntukkan hampir 2.5 Juta untuk membeli barangan keperluan mangsa banjir seperti makanan, selimut dan sebagainya.

“Saya berharap pada tahun ini rakyat sudah bersedia kerana pelbagai ramalan terutamanya daripada Jabatan Meteorologi yang menjangkakan banjir besar yang akan berlaku pada bulan November ini,” katanya.

 


Tag: