• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Rakyat Dungun Nikmati Laba RMK-12, Agenda Wan Hassan

Oleh: Afiq Fahmi 

KUALA LUMPUR, 5 Oktober - Menjadi agenda utama Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli untuk memastikan rakyatnya tidak ketinggalan menikmati hasil laba daripada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). 

Wan Hassan dalam satu kenyataan medianya hari ini berkata, beliau telah membangkitkan beberapa permasalahan di Dungun dalam perbahasan  untuk diberi perhatian dalam rancangan pembangunan terbesar dalam negara itu. 

Katanya, kepadatan bilangan pelajar yang tinggi di Sekolah Kebangsaan Sura sehingga terpaksa mengamalkan sesi persekolahan dua segi turut disuarakan. 

"Oleh itu, bagi mengurangkan kesesakan bilangan pelajar, saya ingin mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan untuk membina sekolah kebangsaan yang baharu berdekatan Sekolah Kebangsaan Sura dalam masa terdekat ini bagi memudahkan proses pembelajaran anak-anak ini di kemudian hari," jelasnya. 

Beliau juga melahirkan kekesalan di atas kelewatan Hospital baharu Dungun yang telah mula dibina sejak tahun 2016 dan sepatutnya siap pada 22 Februari 2019. 

"Memandangkan hospital ini masih belum siap dibina, pesakit yang ingin mendapatkan rawatan susulan atau pembedahan perlu ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) atau Hospital Kemaman.

"Situasi ini sangat menyulitkan kerana rakyat Dungun memerlukan perhatian segera dan hospital lama pula telah mengalami kesesakan pesakit yang kritikal sejak sekian lama lagi-lagi ketika kita masih diuji oleh pandemik COVID 19," tegasnya lagi.

Seterusnya untuk memberi kemudahan rakyat Dungun, Wan Hassan mencadangkan kepada pihak Kerajaan Persekutuan untuk membina Bangunan Gunasama Persekutuan di Parlimen Dungun. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, bangunan gunasama ini sangat penting untuk rakyat mendapatkan akses perkhidmatan kerajaan yang penting dalam satu tempat. 

"Contohnya, pejabat Jabatan Pendaftaran Negara Cawangan Dungun terletak jauh dari pejabat-pejabat Persekutuan yang lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," terangnya lagi. 

Beliau turut mengutarakan berkenaan projek pembinaan benteng pemecah ombak di muara-muara sungai yang terletak di Parlimen Dungun yang telah dirancang sejak RMK-11. 

" Pembinaan benteng ini diperlukan bagi memudahkan bot-bot nelayan dan pelancong yang keluar masuk di muara ketika mencari rezeki.

" Saya juga berharap Kerajaan Persekutuan mempercepatkan pembinaan benteng ini kerana sudah berlaku kes kematian rakyat Dungun kerana ombak yang sangat deras di muara-muara sungai ini," ujarnya lagi. 

Justeru, katanya Kerajaan Persekutuan sewajarnya mempertimbangkan cadangan-cadangan yang diutarakan itu secara serius dalam usaha memastikan kebajikan rakyat Dungun terus terjaga. 

"Saya juga berharap segala usaha yang dirancang dalam RMK-12 dapat dilaksanakan dengan secepat mungkin sesuai dengan situasi semasa negara kita menuju ke arah suasana endemik," tambahnya lagi. 

 

 


Tag: