• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Rakyat Lega, Rawatan Kesihatan Percuma Ringankan Beban

KUALA TERENGGANU, 22 Mac - Inisiatif kerajaan Terengganu yang melaksanakan pakej rawatan kesihatan percuma di klinik swasta terpilih melalui program Kad Sejahtera berjaya membantu mengurangkan ‘derita’ rakyat.

Bagi seorang peniaga kedai, Md Bidin Muda, 67, memberitahu, subsidi berkenaan mampu mengurangkan perbelanjaan perubatan kencing manis dihidapinya yang mencecah ribuan ringgit.

Menceritakan detik awal ketika penyakit itu mula merebak, dia yang lebih mesra disapa sebagai Pak Din berkata, pada Jun 2019 kakinya terkena tongkat motosikal sehingga menyebabkan pendarahan teruk di bahagian atas kaki.

“Akibat kejadian itu saya terlantar di hospital lebih seminggu dan terpaksa menjalani pembedahan bagi membuang kuman-kuman di bahagian dalam kaki.

“Ketika itulah pihak hospital memberitahu saya bahawa penyakit itu mula membarah dan berkemungkinan besar kaki saya terpaksa dipotong,” ujar bapa kepada empat orang anak itu.

Namun kata Pak Din, dia berkeras tidak mahu membuat pembedahan memotong kaki itu sebaliknya bersetuju hanya kuman dicuci dan isi kotor dibuang.

“Alhamdulillah, sekarang saya beransur pulih, ditambah pula dengan bantuan rawatan kesihatan percuma yang disediakan kerajaan sudah pasti ia mengurangkan beban kos yang saya dan keluarga tanggung, dengan kad ini saya boleh membeli ubat asa untuk sakit saya,” jelasnya

Sementara itu, menurut seorang lagi penerima Kad Sejahtera, Salina Abdul Ghani atau Kak Na, 54, menyifatkan bantuan tersebut akan memudah dan menyenangkan orang ramai untuk meningkatkan taraf kesihatan mereka terutamanya warga emas di kawasan luar bandar.

“Nilai dalam Kad Sejahtera berjumlah RM500, penerima dan ahli keluarga apabila hendak mendapatkan rawatan di klinik panel, hanya perlu membawa kad ini sahaja dan nilai akan dipotong mengikut kadar kos rawatan.

“Kak Na sendiri mengalami penyakit kulit (gatal-gatal), setiap kali mendapatkan rawatan di klinik saya dikenakan caj sebanyak RM30, alhamdulillah dengan kad ini ia sedikit sebanyak meringankan kesusahan kami sekeluarga,” katanya.

Tambah Kak Na, ibunya juga menghidapi penyakit saraf dan darah tinggi yang memerlukan rawatan berterusan.

“Insya-Allah ubat-ubatan tidak akan terputus kerana kami boleh membayar melalui kad sejahtera ini,” ujar ibu tunggal terbabit.

Program Kad Sejahtera merupakan satu program ‘Bantuan Subsidi Rawatan Kesihatan Asas’ yang mensasarkan 20,000 penerima daripada golongan berpendapatan rendah, miskin dan miskin tegar dengan peruntukan sebanyak RM10.9 juta pada tahun permulaan dan RM10 juta pada 2021.

Ia juga merupakan manifesto PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.


Tag: