• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Rakyat Perlu Bersiap Sedia Hadapi Musim Banjir- APM Terengganu

Pegawai APM menunjukkan isyarat arahan pengendalian bot kepada pasukannya dalam simulasi menyelamat semasa banjir.


MARANG, 25 September- Rakyat Terengganu khususnya dinasihatkan bersiap siaga untuk menghadapi bencana banjir akibat monsun Timur Laut yang dijangka bermula awal November nanti.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMN) Terengganu, Mejar (PA) Amer Sarifudin Zalman berkata, walaupun ia merupakan keadaan biasa bagi penduduk di negeri itu keselamatan tetap perlu diutamakan.

“Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), kita sedang berada di musim peralihan monsun Barat Daya ke monsun Timur Laut sehingga awal November.
 
Mejar (PA) Amer.
“Nasihat saya kepada penduduk tempatan yang sudah semestinya tahu di mana kawasan berlaku banjir supaya mempersiapkan diri. Jika ada arahan daripada pasukan penyelamat atau makluman daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), di minta jangan ragu-ragu berpindah ke pusat pemindahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi Latihan UlangKaji Pengendalian Bot APM Terengganu di Sungai Kerak dan Kampung Jenang, semalam.

Dalam sesi tersebut, seramai 70 pelatih APM terdiri dari seluruh Terengganu hadir menyertai simulasi pengendalian bot dan menyelamatkan mangsa.

Berkenaan dengan persediaan menghadapi bencana banjir, Amer memaklumkan APM Terengganu memiliki kekuatan 320 anggota serta 24 hingga 32 biji bot yang bersedia.
 
Simulasi menyelamatkan mangsa dalam air turut dilakukan.
“Bagi seluruh negeri Terengganu pula, kita mempunyai keseluruhan 2,725 anggota terdiri daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, APM, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri.

“Selain itu, kita juga bersedia untuk menghadapi kecemasa lain yang berlaku dan semasa banjir jumlah anggota akan ditambah mengikut keperluan,” katanya.

Bagi negeri Terengganu, MetMalaysia menjangkakan taburan hujan pada kadar normal iaitu antara 350mm hingga 700mm dan bencana banjir dianggarkan seperti tahun 2018.

Namun, agensi-agensi yang terlibat turut bersedia untuk menghadapi fenomena banjir besar yang tidak dijangka sebagaimana yang berlaku pada tahun 2014.

Anggota APM yang menyertai latihan.





Tag: