• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Rakyat Perolehi Maklumat Tepat Tidak Musuhi Agenda Kebaikan

MARANG, 28 Mac - Penyebaran maklumat tepat secara konsisten daripada kerajaan persekutuan dan negeri berupaya membawa kebaikan menyeluruh buat rakyat sekali gus menafikan permusuhan yang ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, oleh kerana itu maklumat tepat yang perlu diketahui rakyat adalah melalui medium rasmi kerajaan itu sendiri.

"Di peringkat persekutuan melalui Jabatan Penerangan, di negeri dan daerah ada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) yang berperanan menyampaikan maklumat lengkap.

"Semua agensi berkait dengan penerangan ini sudah pasti dapat memberikan kerjasama sebaik mungkin dalam memberi kefahaman kepada masyarakat melalui setiap agenda yang dilakukan.

"Sudah tentu masyarakat tidak akan lagi menjadi musuh terhadap apa yang tidak diketahui, sebaliknya akan melihat kerajaan yang ada pada hari ini sedang melakukan agenda dan perancangan yang baik buat mereka, dan setiap kebaikan yang telah dirancang ini perlu dipertahankan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program 'Walkabout Pelancaran Komuniti @ Pusat maklumat Rakyat (PMR) Peringkat Negeri Terengganu di sini hari ini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Penolong Pegawai Tadbir Daerah, Mohd Ruqaim Asyrafi Sulaiman dan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Shaiful Azuan Che Zuhar.

Katanya, pusat berkenaan berperanan sebagai hab maklumat atau pusat sehenti yang akan beroperasi di setiap daerah melalui Jabatan Penerangan.

"Kerajaan mengharapkan PMR ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin dengan kerjasama semua pihak  termasuk jawatankuasa masjid di setiap daerah dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di setiap cawangan untuk mengambil maklumat dengan datang ke jabatan ini agar apa jua perkembangan serta maklumat lengkap yang berkaitan dapat disampaikan," katanya.

Dalam kunjungan beliau, Mohd Nor berkata, banyak risalah berkait dengan kempen kehidupan norma baharu, Intipati Belanjawan 2021, Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), pengetahuan mengenai Proklamasi darurat dan sebagainya disediakan untuk disebarkan kepada segenap lapisan masyarakat.

Selain itu pelancaran PMR itu juga bertujuan memperkasakan jabatan berkenaan melalui pelaksanaan pelbagai aktiviti seperti kursus atau bengkel secara bersemuka bersama komuniti setempat juga program bersepadu dengan agensi tertentu bagi menggerakkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

 

 

 


Tag: