• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Rakyat Puji Kerajaan Negeri Perbanyak Peluang Pekerjaan

KUALA TERENGGANU, 18 Julai – Rakyat Terengganu menyambut baik usaha kerajaan negeri dalam membuka lebih banyak peluang pekerjaan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata pelbagai usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan dalam membantu rakyat mencari pekerjaan.

Katanya, kerajaan negeri juga akan terus memberikan fokus utama untuk menurunkan kadar pengangguran.

"Program pada hari ini menghimpunkan sebanyak 77 Syarikat yang mengambil bahagian termasuk beberapa anak syarikat Terengganu (GLC) seperti Terengganu Incorporated, Kolej Yayasan Islam Terengganu dan banyak lagi.

“Terima kasih kepada syarikat-syarikat yang mengambil bahagian dalam memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak Terengganu," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Walkabout bagi Program Karnival Kerjaya Myfuturejobs Outreach Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat Negeri Terengganu 2023 bertempat di Aras 2 KTCC Mall, Kuala Terengganu baru-baru ini. 

Turut hadir, Pengarah Perkeso Negeri Terengganu, Farihah Che Husin.

Tambah Nurkhuzaini, karnival ini bukan sahaja menjadi platform menemukan para majikan dan pencari kerja menerusi temu duga terbuka, malah pihak Perkeso menyediakan perkhidmatan pekerjaan termasuklah kaunseling kerjaya.

Di samping, memberi bantuan penyediaan resume, profil pencari kerja dan kursus asas komunikasi yang bertujuan untuk meningkatkan keboleh pekerjaan dan keboleh pasaran pencari kerja.

“Program yang telah berlangsung selama tiga hari bermula 6 hingga 8 Julai 2023 menerima sambutan menggalakkan oleh pengunjung di sini,” ujarnya.

 


Tag: