• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Rakyat Terengganu Dijemput Utarakan Cadangan

KUALA TERENGGANU, 17 Oktober – Rakyat Terengganu dijemput untuk mengutarakan sebarang cadangan dan soalan bersempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 Kali Ketiga, yang dijadualkan berlangsung pada bulan November tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata peluang yang seluasnya dibuka kepada semua penduduk Terengganu tanpa mengira status jantina, agama dan bangsa untuk sama-sama menyumbangkan ‘buah fikiran’.

 

Zuraida berucap ketika Sidang DUN yang lalu.

“Kami buka kepada segenap lapisan masyarakat untuk suarakan apa hasrat dan isi hati mereka kepada kerajaan negeri, berilah sebanyak mungkin respon supaya suara anda didengari.

“Tambahan pula Sidang DUN kali ini melibatkan pembentangan bajet Kerajaan Negeri Terengganu jadi rugi sekiranya tidak diambil peluang.

“Soalan berkaitan isu wanita, sosial ekonomi, pendidikan dan agama, hiburan, sukan, kerjaya, pembangunan & infrastuktur atau apa sahaja soalan yang berkaitan Kerajaan Terengganu boleh diutarakan kepada kami,” ujarnya.

Zuraida berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman, pagi tadi.

Beliau juga sangat mengalu-alukan cadangan serta idea untuk memantapkan lagi pembangunan wanita, pembangunan modal insan dan pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu.

Orang ramai yang mahu menyumbangkan pandangan, bolehlah merujuk halaman media sosial ADUN Wanita (Zuraida Md Noor) bagi mendapatkan pautan atau mengimbas kod QR untuk mengisi borang secara atas talian sebelum 24 Oktober 2020 (Sabtu).