• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Rakyat Terengganu Sambut Baik ‘Street Dakwah’

KUALA TERENGGANU, 6 Oktober - Kempen Patuh Syariah ‘Street Dakwah’ yang digerakkan oleh Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata maklum balas daripada pengunjung sungguh luar biasa seolah-olah menanti pihaknya mengedarkan risalah pembudayaan syariah ini.

Katanya, program itu dijayakan bersama Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

“Program ini mengajak orang ramai supaya membudayakan kehidupan bersyariat melalui risalah yang diedarkan.

“Risalah tersebut mengandungi cara pemakaian menutup aurat dengan betul serta panduan kehidupan seharian secara bersyariat,“ jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas Program Kempen Patuh Syariah 'Street Dakwah’ sempena Program Pembudayaan Kehidupan Bersyariat bertempat di KTCC Mall, Kuala Terengganu di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said dan Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu, Muhammad Ramlan Mahmood.

Tambah Wan Sukairi, membudayakan kehidupan bersyariat akan menjadikan kehidupan lebih indah dan bermatlamat.

Dalam masa yang sama adalah untuk mendapat keberkatan dalam setiap perkara yang kita lakukan dalam kehidupan.

“Harapan saya supaya orang ramai dapat menghayati setiap perkataan dalam risalah yang diedarkan dan diamalkan dalam kehidupan seharian,” katanya.

 

 

 


Tag: