• 09 Okt 2024 | 06 Rabiul Akhir 1446

Rakyat Turkiye Hargai Sumbangan Terengganu

KUALA TERENGGANU, 17 April – Rakyat Turkiye yang menerima sumbangan melalui Tabung For Turkiye meluahkan rasa terharu, syukur dan menghargai usaha murni Kerajaan Negeri Terengganu baru-baru ini.

Salah seorang doktor pelatih di Hospital Bandar Raya Ankara, Nursima Dildali berkata, misi Tabung For Turkiye yang mempunyai nilaian lebih RM1.3 Juta itu merupakan perkara sangat luar biasa.

Katanya, penduduk di sini cukup terharu dan teruja apabila melihat kumpulan sukarelawan yang berasal daripada Terengganu menjalankan misi membantu mangsa gempa bumi.

“Kebaikan yang ditunjukkan bukan sahaja empati terhadap kami tetapi juga mengukuhkan ikatan antara komuniti Turkiye dan Malaysia (Terengganu).

“Belas kasihan dan sikap perpaduan pada saat krisis ini menunjukkan semangat kemanusiaan yang menyatukan kita semua," katanya ketika dihubungi oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman baru-baru ini.

Sementara itu, Pakar Fisioterapi Rehabilitasi Pediatrik, Dilruba Akat berkata, ini adalah bencana yang sangat dasyat bagi kami yang tidak dapat dibayangkan oleh sesiapa pun.

"Beribu orang mati, ribuan cedera, ribuan rumah musnah serta terdesak menunggu bantuan datang akibat kebuluran, wabak, kesejukan melampau dan banyak lagi trauma yang dialami oleh mangsa gempa bumi di sini.

"Kebanyakan mereka bekerja berhari-hari untuk mengeluarkan mayat anak perempuan, anak lelaki mereka yang masih hidup dan mengangkat konkrit dengan tangan mereka.

"Bantuan yang diterima amat memberi sinar harapan kepada kami untuk meneruskan kehidupan dan mewujudkan kekuatan rohani dalam diri kami.

“Kedatangan rakyat Terengganu memberikan sokongan psikologi terhadap mangsa di Turkiye.

“Keperihatinan yang ditunjukkan merupakan sumber motivasi yang sangat luar biasa bagi kami di sini," jelasnya.

Sementara itu, salah seorang rakyat Turkiye, Taha Fahmi berkata, sumbangan tersebut memberi manfaat pada kami untuk meneruskan kehidupan seharian di sini.

"Misi tersebut sangat menakjubkan sekali gus mengukuhkan lagi ikatan antara dua negara dan rakyatnya," ujarnya.

Untuk makluman, pada 17 Mac lepas delegasi kerajaan negeri telah bertolak ke Turkiye dan Syria bagi menyampaikan sumbangan lebih 1.3 Juta kepada mangsa gempa bumi di negara terbabit.

 

 

mage widget


Tag: