Khidmat Malaysia Anjur Dapur Rakyat Ringankan Beban Mangsa Banjir
KUALA TERENGGANU, 19 Januari - Warga perantau dinasihatkan agar merancang perjalanan terlebih dahulu dan mengelakkan terburu-terburu sebelum pulang ke kediaman masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berharap agar semua dapat mengikut segala apa yang disarankan oleh pihak pengendali lebuh raya bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini berlaku.
Katanya, sebelum pulang pastikan diri kita berada dalam keadaan baik serta sihat tubuh badan.
“Supaya dapat membawa kenderaan dalam keadaan yang lancar dan selamat untuk tiba ke destinasi yang ditujui.
“Diingatkan juga supaya memastikan rumah berada dalam keadaan baik, berkunci terlebih dahulu dan selamat untuk ditinggalkan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas Merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena musim perayaan Tahun Baru Cina peringkat Negeri Terengganu bertempat di Jalan Pesisir Payang (Pulau Warisan), Kuala Terengganu di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superitenden Ismail Man.
Tambah Hanafiah, pengguna jalan raya disarankan agar mendapatkan maklumat keadaan trafik semasa sebelum pulang ke kediaman masing-masing.
Mengulas lanjut berkenaan kempen, pihaknya telah mengedarkan topi keledar kepada beberapa pengguna jalan raya terpilih dan risalah-risalah berkaitan dengan keselamatan jalan raya.
Di samping, beberapa hamper juga turut diberikan kepada pengunjung yang hadir bagi memeriahkan lagi kempen keselamatan jalan raya pada semalam.