• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Rangkaian Komunikasi Terbakar Selesai Dibaiki

KUALA TERENGGANU, 6 September - Kerja-kerja baik pulih rangkaian komunikasi melibatkan kabin komunikasi di Menara Felda Seberang Tayor di daerah Kemaman yang terbakar baru-baru ini telah berjaya dipulihkan sepenuhnya pada Sabtu lepas.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia berjaya dibaik pulih dua hari lebih awal daripada yang dijadualkan.

"Ini membolehkan pengguna setempat menikmati semula rangkaian komunikasi dan liputan internet seperti sedia kala.

“Penghargaan buat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta semua penyedia perkhidmatan terlibat yang komited melaksanakan kerja-kerja baik pulih di menara komunikasi berkenaan secepat mungkin," katanya di Twitter.

Terdahulu MCMC menerusi kenyataan memaklumkan kabin menara komunikasi di Menara Felda Seberang Tayor yang terbakar pada 5.58 petang, 30 Ogos lepas.

Menara berkenaan adalah milik Desabina Industries Sdn Bhd yang digunakan pihak Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile.

Kerosakan peralatan pada menara berkenaan juga telah mengakibatkan gangguan perkhidmatan di beberapa buah menara yang bersambungan iaitu di Felda Air Puteh, Lubuk Lesong, Kampung Paman, Ladang Boustead, Kampung Pasir Gajah, Kampung Lubuk Lesung, Kampung Pasir Semut, Kampung Tebak dan Kampung Teladas