• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Rebut Peluang Beli, Bina Rumah Tanpa Pinjaman Riba

KUALA TERENGGANU, 5 Oktober - Orang ramai yang berkelayakan disaran merebut peluang membuat pinjaman perumahan tanpa riba melalui Skim i-Rahman yang akan dibuka permohonan selepas majlis pelancaran 13 Oktober ini.

Skim tersebut bertujuan membantu rakyat Terengganu membina rumah atau membeli kediaman dengan pihak swasta.

Skim yang diluluskan kerajaan negeri dalam Belanjawan 2021 sebelum ini menyediakan peruntukkan RM50 juta setahun.

Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Perumahan), Nor Sophia Azura Mohd Husin berkata, pembiayaan itu diuruskan sepenuhnya oleh Perbandanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).

Katanya, sebanyak 30 peratus daripada jumlah peruntukan RM50 juta akan disalurkan untuk membina rumah dan selebihnya untuk membeli rumah projek perumahan secara penswastaan.

“Di bawah segmen membina rumah,  kerajaan negeri akan berkerjasama dengan dengan Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) dan rumah yang dibina akan dikenali sebagai RMR Rahman.

“Rumah ini berharga RM75 ribu, tetapi akan mendapat subsidi sebanyak RM20 ribu daripada pihak Kementerian Kewangan Malaysia.

"Dianggarkan setiap tahun subsidi yang akan disalurkan oleh Kementerian Kewangan untuk skim pembinaan rumah di bawah SPNB diantara 400 hingga 500 unit,” katanya.

Menurut Nor Sophia, rumah yang bakal dibina masih lagi mematuhi konsep patuh syariah tetapi berbeza dari segi keluasan iaitu 1,000 kps dan tidak mempunyai parkir kereta.  

“Melalui i-Rahman peserta hanya akan membuat pinjaman sebanyak RM55,000 dengan deposit sebanyak RM3,500 sahaja.

“Tempoh pembiayaan adalah selama 15 tahun dan ansuran bulanan dijangka sekitar RM286 sebulan,” katanya  

Nor Sophia trut memberitahu, pembelian yang dibina oleh pihak swasta pula adalah segmen kedua dalam i-Rahman.

Peserta yang telah terpilih tetapi tidak layak mendapat pembiayaan bank komersial akan ditawarkan dengan bukti secara bersurat penolakan daripada bank.

“Rumah yang akan di beli harga maksima sebanyak RM80,000 sahaja. Tempoh pembiayaan selama 25 tahun dan ansuran bulan sebnayak RM266.70,” katanya.

Setiap permohonan i-Rahman adalah melalui https://eperumahan.terengganu.gov.my/ atau boleh hubungi talian 09-626 7999 atau 09-631 7999.

 


Tag: